Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kendali pertikaian Laut China Selatan dengan cermat- Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menuntut pengendalian yang lebih cermat daripada negara-negara serantau berhubung pertikaian di Laut China Selatan.

Berucap merasmikan Rundingan Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) Ke-30 di Kuala Lumpur  malam tadi, Najib menggesa negara-negara ASEAN berusaha ke arah resolusi aman ekoran pertikaian di wilayah terbabit.

“Perkembangan di Laut China Selatan menuntut pengendalian yang cermat daripada negara-negara serantau dan negara lain. Dalam kerangka ASEAN, kita mengalu-alukan rumusan segera berkaitan tata etika di Laut China Selatan.

“Pada masa sama, saya menyeru kita semua agar kekal berpegang kepada pelaksanaan deklarasi tatacara semua pihak yang berkesan dan menyeluruh di Laut China Selatan,"katanya.

Selanjutnya, kata Najib beliau akan terus bergantung kepada diplomasi dan dialog untuk menyelesaikan perbezaan dan pertikaian secara aman.

“Kita akan berbuat demikian dengan mematuhi dan berdasarkan norma-norma, adab serta prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa,” kata Najib.

Kumpulan Tujuh (G7) baru-baru ini melahirkan kebimbangan mengenai situasi di Timur dan Laut China Selatan dan menekankan tentang pentingnya menangani dan menyelesaikan pertikaian di kawasan itu secara aman.

Perdana menteri Jepun Shinzo Abe berkata melalui Deklarasi Pemimpin G7 di Ise-Shima, kumpulan itu mengulangi komitmen untuk mengekalkan peraturan-peraturan berdasarkan order maritim selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa seperti termaktub dalam UNCLOS (Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut).

Sementara itu Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc turut mengulangi bahawa negaranya akan meneruskan kerjasama dengan Jepun dan rakan perkongsian strategik yang lain untuk mengekalkan keamanan di Laut China Selatan di mana China meluaskan kehadiran tentera.

Sehingga kini Vietnam bertekad untuk mengambil semua langkah yang perlu.

Menurut laporan berita Jiji Press, Vietnam tidak berhasrat menggunakan kekerasan bagi menyelesaikan isu antarabangsa apatah lagi menimbulkan konflik yang mungkin membahayakan nyawa penduduk di negara terlibat.

Nguyen turut menyeru semua pihak yang membuat tuntutan wilayah di Laut China Selatan mencari jalan penyelesaian menerusi rundingan.

Sementara itu, Najib berkata Malaysia dan Singapura akan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi melaksanakan pembinaan kereta api berkelajuan tinggi menghubungkan kedua-dua negara Julai ini.

Jelas Najib, kerjasama itu sekali gus membuktikan semangat persahabatan antara negara ini dan Republik itu.

"Ini adalah pendekatan kita. Perkembangan perhubungan dan kerjasama ekonomi dengan negara luar menghasilkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran kepada rakyat.

"Kita sekarang menuju ke arah merealisasikan pembinaan kereta api berkelajuan tinggi itu bagi meningkatkan perhubungan, peluang ekonomi serta perhubungan rakyat di kedua-dua negara," kata Najib.

Lihat Komen
ADS