Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Black 505: 15 aktivis, termasuk Chegubard disabitkan bersalah

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman bersalah kepada 15 aktivis kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan haram dan merusuh di luar Parlimen pada Jun 2013.

Mereka termasuk anggota PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, aktivis Adam Adli dan Safwan Anang.

Hakim Mahkamah Sesyen Abdul Rashid Daud memutuskan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah kepada kes pendakwaan.

"Lima tertuduh dikenakan denda RM2,000 bagi pertuduhan pertama pada perhimpunan haram di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan manakala 10 lagi tertuduh didenda RM4,000 bagi pertuduhan kedua kerana merusuh di bawah Seksyen 147,” katanya.

Abdul Rashid berkata, sekiranya mereka gagal membayar denda itu, mereka boleh di penjara selama tiga bulan bagi pertuduhan pertama dan enam bulan bagi pertuduhan kedua.

Badrul Hisham, Adam Adli, Edy Nor Reduan dan tujuh yang lain didenda sebanyak RM6000 kerana menghadapi dua pertuduhan.

Selain itu, lima lagi peserta lain Muhammad Aiman Hakim Zainal Arifin, Mah Chee Hoe, Tong Chan Sang, Abdullah Hassan dan Annie Ooi Siew Lin didenda sebanyak RM2,000 kerana berhimpun secara haram.

Pada Julai 2013, Chegubard, Adam bersama-sama dengan 31 yang lain didakwa di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur kerana menyertai perhimpunan haram, menyeru peletakan jawatan ketua-ketua dan ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada akhir pendakwaan, 18 daripada mereka dibebaskan dan dilepaskan oleh mahkamah tanpa dipanggil membela diri.

Suhaimi Ibrahim mewakili pihak pendakwaan manakala 15 tertuduh itu diwakili Haijan Omar, Radzlan Jalaludin, dan G Sivamalar.

Peguam Haijan dan Radzlan berkata mereka akan membuat rayuan bagi anak guamnya yang dikenakan denda di atas dua pertuduhan iaitu Seksyen 143 dan 147 Kanun Keseksaan.

 

Lihat Komen
ADS