Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akta 355: 'Tenang pemimpin BN, langit belum nak runtuh'

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa menyeru kepimpinan BN supaya bertenang dan tidak melatah berhubung usul meminda Akta 355 bidang kuasa mahkamah syariah yang dipercepatkan kerajaan Khamis lalu.
 
Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh berkata kepimpinan tertinggi parti kompenan itu seharusnya meminta penjelasan daripada Umno serta mengadakan perbincangan tertutup mengenainya.
 
“Apa yang dikemukakan itu pindaan kepada akta 355 bukan soal hudud jadi terlalu banyak kekeliruan dan maklumat yang salah disampaikan kemudian ada pula yang melatah nak letak jawatan macam langit dah nak runtuh.
 
“Kita masih ada proses yang panjang sebab itu saya nasihatkan pemimpin kanan dalam komponen BN supaya memahami semangat BN apabila ada saja perkara yang kita anggap penting bagi kepntingan rakyat hendaklah kita duduk dan mendapatkan penjelasan.
 
“Saya fikir sebagai sebuah keluarga kita akan panggil dan bincang secara tertutup di mana kita rasa ada pihak yang keliru kita akan berunding secara tertutup," katanya sewaktu ditemui pemberita di Menara Dato' Onn, PWTC hari ini.
 
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam antara yang dilapor mengugut akan meletakkan jawatan daripada kabinet jika Rang Undang Undang (RUU) itu diluluskan.

Kerajaan minggu lalu mempercepatkan usul dikemukakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentangkan RUU berkenaan di Dewan Rakyat.

Hadi bagaimanapun memohon penangguhan ke sesi parlimen akan datang atas alasan kesuntukan masa untuk perbahasan.

RUU bagi menambah bidang kuasa mahkamah syariah itu dikhuatiri oleh ramai pengkritik akan membuka laluan kepada pelaksanaan undang-udang hudud.

Tidak tergesa-gesa

Mengulas lanjut Annuar berkata langkah kerajaan mempercepatkan usul dibawa Hadi sekadar memberi peluang kepada anggota parlimen Marang itu setelah beberapa cubaannya sebelum ini gagal.

Malah, katanya, ia juga bukan satu tindakan tergesa-gesa.

“Tidak timbul soal kita tergesa-gesa dalam soal ini. Di peringkat BN kita belum mendapat apa-apa arahan daripada parti dan pendirian kita mengenai perkara itu belum lagi diputuskan dan hanya akan diputuskan bila sampai masanya," ujarnya.

Katanya, BN mempunyai banyak pilihan untuk membolehkan usul itu dibaca atau ditolak.

"Kita juga boleh membiarkan ahli parlimen BN mengundi mengikut isi hati, kita juga boleh mengambil sikap berkecuali,” tegas Annuar.

Terdahulu, sempena bulan ramadan yang bakal tiba Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan Program Jelajah Turun Padang Bantu Rakyat (TPBR) anjuran biro kebajikan parti itu.

Najib turut menyampaikan sumbangan kepada kumpulan pertama 50 anak yatim dari Kuala Lumpur sebagai simbolik pelancaran program.

Beliau turut melepaskan 35 buah kenderaan pacuan empat roda yang disertai 150 peserta terdiri daripada Skuad Sayang Wanita Umno Malaysia, Pemuda dan Puteri selain Sukarelawan Briged Bantuan Bencana Biro Kebajikan Umno serta wakil media tempatan.

Program selama lima hari itu meliputi 22 lokasi bagi memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan termasuk ibu tunggal, anak-anak yatim dan pesakit kronik oleh 191 Umno Bahagian di seluruh negara.

 

Lihat Komen
ADS