Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perwakilan Terengganu meminta supaya PAS bersungguh-sungguh untuk menubuhkan blok ketiga pembangkang bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Malah, wakil PAS Terengganu, Dr Alias Razak berkata, blok ketiga itu tidak hanya di tulis di atas kertas semata-mata sebaliknya ia perlu dilaksanakan di semua peringkat parti.

Katanya, blok ketiga itu juga penting bagi memastikan PAS dapat menarik kembali pengundi selepas kegagalan parti Islam itu bersama Pakatan Rakyat.

"Selepas berpisah dengan Pakatan Rakyat, kita akui perpisahan ini menyebabkan kita kehilangan pengundi.

"Kita harap PAS dapat bersungguh-sungguh kerana ini peluang terbaik untuk tarik pengundi golongan atas pagar.

"Kita kena sungguh-sungguh supaya blok ketiga ini dapat tenggelamkan Pakatan Harapan kerana mereka pesaing kita sekarang ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-62 di Kelantan.

PAS membentuk blok baru pembangkang pada Mac lalu bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

Kerjasama itu dilakukan bagi membuka ruang ke arah pembinaan kumpulan persefahaman yang lebih tersusun dan diharapkan setanding Pakatan Harapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

PAS bersama PKR dan DAP membentuk Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13 namun ia berkubur selepas mengalami masalah sesama parti.

Lihat Komen
ADS