Paling Popular
Terkini

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan MCA dan MIC menjadikan DAP sebagai 'imam' mereka dalam isu berkaitan cadangan pindaan akta mahkamah syariah.

Anggota parlimen Marang juga mempertikaikan tindakan sesetengah parti yang “menyibuk” dengan usul rang undang-undang tersebut walaupun ia hanya melibatkan orang Islam.

"Kalau hal lebuh raya, jambatan, (kerajaan negeri) Pulau Pinang boleh runding (dengan kerajaan persekutuan). Takkan hal berkaitan agama, kita tak boleh nak runding. Ini jenis apa ini?

"Ini berkaitan Islam, bukan orang bukan Islam. Kenapa DAP nak sibuk? MCA dan MIC dan yang lain-lain pun sekarang berimamkan DAP pula, dah jadi begitu. Malangnya, parti satu lagi (AMANAH) ikut pula.

"Ini bukan berkait dengan hal orang bukan Islam," kata Hadi dalam ucapan penggulungannya di Muktamar Tahunan PAS kali ke-62 di Kelantan.

Sementara itu, Abdul Hadi turut menyeru para anggota parti Islam itu agar patuh kepada pemimpin termasuk taat terhadap keputusan yang dibuat.

Ini termasuk keputusan parti untuk menentukan calon yang bertanding dalam pilihan raya, katanya.

"Dalam buat keputusan calon, bila si anu jadi calon, (ada) tak puas hati dengan calon kemudian keluar parti, tak buat kerja dengan parti. Tak puas hati dengan calon, bertanding Bebas. Ini salah dalam akhlak berjemaah.

"Kita kena terima keputusan parti, keputusan yang dibuat berdasarkan pada asas yang kukuh. Kita ada cawangan, ahli dan asal usul bertanding di situ, maka kita membuat keputusan yang tegas.

"Sepatutnya rakan-rakan kita meraikan kita kerana kedudukan (keputusan) kita," tegas Hadi.

Beliau berkata demikian difahamkan sebagai memberikan respon kepada usul yang di bawa wakil Dewan Ulama Selangor, Nik Bakri Nik Mat yang mempertikaikan Dr Abdul Rani Osman dipilih sebagai calon pilihan raya kecil Sungai Besar.

Lihat Komen
ADS