Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Goldman Sachs disiasat berhubung 'transaksi mencurigakan' 1MDB
Diterbitkan:  Jun 7, 2016 11:03 AM
Dikemaskini: 3:23 AM

Pasukan penyiasat Amerika Syarikat sedang cuba untuk menentukan sama Goldman Sachs Group Inc melanggar undang-undang apabila ia gagal memberi amaran berhubung transaksi yang mencurigakan yang membabitkan firma pelaburan negara yang bermasalah, 1MDB.

Akhbar The Wall Street Journal (WSJ) hari ini memetik sumber yang mendedahkan bahawa pihak berkuasa Amerika Syarikat sedang menjadualkan siasatan dengan eksekutif Goldman meskipun bank itu belum dituduh berhubung sebarang salah laku.

Menurut bank berkenaan ia tidak mengetahui bagaimana 1MDB menggunakan wang yang dikumpulkan untuk firma pelaburan Malaysia itu.

Goldman telah mengumpulkan AS$3 bilion menerusi terbitan bon 1MDB pada Mac 2013, yang sepatutnya untuk membiayai projek hartanah utama di Kuala Lumpur demi meningkatkan ekonomi negara.

Bank itu kemudian menyalurkan dana berkenaan ke dalam akaun bank Swiss yang dikawal oleh 1MDB.

Menurut sumber WSJ dan individu yang telah melihat maklumat pemindahan wang, selang beberapa hari kemudian, separuh daripada wang itu hilang di luar pesisir, dengan sebahagiannya berada di akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pasukan penyiasat sekarang cuba untuk menentukan sama ada Goldman gagal mematuhi Akta Kerahsiaan Bank Amerika Syarikat yang memerlukan institusi kewangan untuk melaporkan urus niaga mencurigakan kepada pihak berkuasa.

"Para penyiasat percaya bank (Goldman) mempunyai sebab untuk mengesyaki wang yang dikumpulkannya itu tidak digunakan untuk tujuan yang dimaksudkan, menurut mereka yang biasa dengan siasatan.

"Menurut mereka, amaran sepatutnya dikeluarkan apabila Goldman diarah memindahkan AS$3 bilion kepada sebuah cawangan bank swasta Switzerland yang kecil di Singapura dan bukannya kepada bank global besar, seperti lazimnya untuk pemindahan saiz berkenaan,” lapor WSJ.

Satu lagi amaran, kata mereka adalah semasa jualan bon dan mengapa ia dlakukan secara tergesa-gesa.

Perjanjian itu dilakukan pada Mac 2013 iaitu dua bulan selepas Najib berurusan dengan ahli bank Goldman Sachs semasa mesyuarat Forum Ekonomi Dunia tahunan di Davos, Switzerland dan dua bulan sebelum kempen pilihan raya umum ke-13.

Memetik sumber, WSJ berkata Najib menggunakan sebahagian daripada wang dari akaun bank peribadinya untuk perbelanjaan pilihan raya.

Perdana Menteri juga secara konsisten menafikan sebarang salah laku dalam perkara ini, dengan berkata bahawa wang itu adalah sumbangan politik daripada Arab Saudi, dengan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada bulan Januari lalu membersihkan Najib daripada sebarang salah laku.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS