Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rani: PAS sokong tuntutan BERSIH, mahu ganti kerajaan
Diterbitkan:  Jun 8, 2016 11:51 AM
Dikemaskini: 6:14 AM

Calon PAS bagi Sungai Besar Dr Abdul Rani Osman memberikan jaminan kepada BERSIH bahawa beliau menyokong tuntutan mereka untuk melakukan perubahan institusi.

"Cuma mungkin cara kita berbeza dalam melaksanakan tuntutan tersebut. Tidak mengapa cara kita berbeza, asalkan hasrat boleh dicapai," katanya dalam catatan di Facebook hari inni.

Beliau menjawab soalan diajukan BERSIH kepada calon yang bertanding pada pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, sama ada mereka akan menyokong usaha untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Gerakan reformasi untuk pilihan raya itu juga ingin tahu sekiranya calon bertanding menyokong 10 tuntutan BERSIH untuk perubahan institusi bagi memastikan pilihan raya bebas dan adil.

Rani berkata, beliau menyokong semua tuntutan tersebut, sambil menambah tidak hanya mahu menyingkirkan Najib, malah mahu menggantikan kerajaan.

"PAS mahu menyingkirkan seluruh kerajaan Umno-BN yang diterajui PM Datuk Seri Najib Razak dan diganti dengan kerajaan alternatif yang baru. Menggantikan Najib sahaja tidak akan menyelesaikan masalah," kata Rani.

Katanya, jikalau Najib menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi menutup laporan audit 1MDB, penggantinya juga akan menggunakan cara sama yang dipelajari sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Jika dipilih sebagai ahli parlimen, saya akan menyokong sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan Umno-BN.

"PAS tidak mahu ada saham dalam menyelamatkan Umno dengan membantu mereka yang berhasrat membantu Umno mendapatkan presiden baru yang bakal memberikan nafas baru kepada BN," katanya.

Abdul Rani berkata beliau juga menuntut agar sistem pilihan raya ‘first past the post’ diganti dengan ‘proportional representation’  berdasarkan undi popular supaya pilihan raya lebih bebas dan adil.

Rani adalah calon pertama dalam kalangan tujuh calon pilihan raya kecil tersebut yang memberikan respon kepada BERSIH. Dalam pilihan raya kecil Sungai Besar, beliau menentang calon BN Budiman Zohedi dan calon AMANAH Azhar Abdul Shukor.

Di Kuala Kangsar, calon BN Mastura Mohd Yazid mempertahankan kerusi Allahyarham suaminya dengan berdepan Dr Najihatussalehah Ahmad daripada PAS, Ahmad Termizi Rosli daripada AMANAH dan calon bebas, Izat Bukhari Ismail Bukhari. Penduduk Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan keluar mengundi pada 18 Jun.

Lihat Komen
ADS