Pengaturcara komputer bebas yang sebelum ini mendakwa ditipu dalam penjualan 900,000 nama bagi menipu tanda tangan dalam projek memorandum Deklarasi Rakyat hari ini didakwa tampil dengan akuan bersumpah (SD) terbaru untuk menafikan yang terdahulu.
Walau bagaimanapun, Badrul Hisham Shaharin, yang membantu Azharuddin Othman dalam SD pertama itu mendakwa SD baru adalah palsu.
Menurut SD kedua yang mempunyai nama Azharuddin, beliau mendakwa bahawa SD pertama yang didedahkannya kepada media pada 26 Mei mempunyai "kesilapan".
"Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak mengenali individu yang bernama Ema atau juga 'Ratu Naga' dan tidak pernah menjalankan apa-apa urusan dengannya.
"Sebelum ini, saya telah diupah untuk mengadakan sidang akhbar berdasarkan teks yang diberikan oleh orang yang mengupah saya iaitu Badrul Hisham Shaharin ," kata beliau dalam SD terkini itu.
SD itu tersebar di beberapa laman Facebook termasuk Otai Bersih dan Kelab Mukhriz Mahathir.
Syarul Ema juga, sebelum ini, telah menafikan pernah mengadakan sebarang urusan dengan Azharuddin.
Dalam SD terkini, Azharuddin didakwa berkata, beliau telah menandatangani dokumen baru untuk mengelakkan tindakan undang-undang.
SD terbaru itu, menurutnya dibuat secara sukarela dan tanpa paksaan. SD itu juga mempunyai cop seorang pesuruhjaya sumpah setem yang berpejabat di Putrajaya.
Sementara itu, Badrul Hisham, mengkritik mereka yang menerbitkan SD kedua itu.
"Kalian seolah-olah gembira menyebarkan SD palsu," katanya dalam laman Facebook yang merujuk kepada Otai Bersih dan Kelab Mukhriz Mahathir.
Dalam mesej teks kemudian, beliau menyifatkan SD terbaru itu sebagai "fitnah oleh kumpulan Mahathir".
Badrul Hisham dijadualkan mengadakan sidang akhbar esok berhubung perkara itu.
Beliau adalah ahli PKR yang digantung keahliannya tetapi berusaha menentang kempen Deklarasi Rakyat kerana membantah kerjasama pembangkang dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Deklarasi Rakyat adalah kerjasama pembangkang dan penyokong kerajaan yang berpling tadah untuk penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung 1MDB dan skandal derma.
Sekretariat Selamatkan Malaysia, yang menganjurkan Deklarasi Rakyat, menafikan sebarang urusan dengan Azharuddin mahupun Syarul Ema.
Najib mendakwa deposit berbilion ringgit yang berada dalam akaun bank peribadinya adalah hasil sumbangan dan menafikan mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.
Nota Editor: Tajuk berita sebelum ini 'Saya diupah baca teks Chegubard' telah ditukar kepada tajuk sekarang kerana ia tidak melambangkan kandungan berita secara tepat. Begitu juga beberapa perkataan telah disunting/tambah supaya memberi gambaran lebih jelas.
Malaysiakini kesal sekiranya tajuk berkenaan memberi persepsi yang salah atau negatif terhadap mana-mana individu atau organisasi mahupun mengundang ulasan yang tidak sewajarnya daripada pengguna media sosial.
