Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Selangor akan merayu kepada kerajaan negeri supaya menanggung kos lawatan ke Mesir yang dibatalkan pada 18 Januari lalu.

Anggota PAC Selangor, Ng Suee Lim berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang dihadiri lima anggota PAC Selangor hari ini yang pertama selepas pembatalan lawatan itu.

Menurut laporan Bernama , mesyuarat PAC Selangor yang terakhir ialah pada 7 Januari lalu.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata, PAC Selangor perlu menanggung sendiri kos lawatan ke Mesir yang dibatalkan itu.

Ng dari DAP berkata 10 anggota rombongan ke Mesir itu perlu membayar RM8,900 setiap seorang.

"Kita merayu agar kesemuannya ditanggung kerajaan negeri," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan itu ketika ditemui selepas mesyuarat PAC Selangor di Shah Alam.

Menurutnya, mesyuarat hari ini juga tidak membangkitkan isu penalti atau bil yang perlu beliau tanggung kerana didakwa menjadi punca pembatalan lawatan ke Mesir itu.

Akui kesilapan

Beliau menyifatkan perkembangan itu mencerminkan bahawa jawatankuasa berkenaan mengakui berlaku kesilapan dalam program itu.

Ng menarik diri daripada menyertai lawatan itu kerana aturcara lawatan berkenaan menyimpang daripada objektif, antaranya acara hiburan tarian gelek sewaktu menyusuri Sungai Nil.

Sehubungan itu, katanya, Menteri Besar Selangor perlu belajar dari kesilapan itu agar tidak memberi kelulusan untuk sebarang lawatan rasmi oleh agensi kerajaan, tanpa meneliti terlebih dahulu programnya.

Ng juga mendakwa lawatan Majlis Perbandaran Klang (MPK) ke Afrika Selatan tiga tahun lalu juga tidak berfaedah kerana lebih kepada melancong.

Menurutnya, lawatan rasmi kerajaan negeri dan agensi kerajaan akan datang tidak diberitahu kepadanya.

Ng berkata, anggota daripada kalangan bukan kerajaan dilantik di jabatan tertentu untuk memantau lawatan rasmi bagi memastikan ia berfaedah.

"Perkara-perkara ini perlu diketahui umum dan mencegah pembaziran wang rakyat," katanya.