Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tak bayar RM12 juta, kata TPM
Diterbitkan:  Jun 16, 2016 11:41 AM
Dikemaskini: 8:35 AM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa pihak berkuasa Malaysia membayar wang tebusan bagi pembebasan empat rakyat mangsa diculik kumpulan militan Abu Sayyaf di selatan Filipina.

Katanya, tiada rundingan berkaitan pembayaran di antara pihak polis Malaysia-Filipina dengan kumpulan penculik itu lapor Utusan Malaysia.

“Ada pihak mengatakan pembayaran telah dilakukan, jadi saya ingin sebutkan dalam rundingan yang dilakukan oleh polis dan kumpulan penculik, tiada bayaran dibuat dan tiada bayaran dijanjikan untuk membebaskan mangsa culik.

“Jadi tuduhan bahawa bayaran tertentu telah dibuat, itu bukan dalam bidang kuasa pihak berwajib seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mewakili kerajaan Malaysia,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Tak boleh beri komen

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata polis telah melakukan yang terbaik bagi menyelamatkan empat rakyat Malaysia yang diculik di selatan Filipina baru-baru ini.

Beliau menegaskan keutamaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ialah menyatukan kembali mangsa culik berkenaan bersama keluarga mereka dengan selamat.

"Apa yang penting ialah semua mangsa sudah diselamatkan dan disatukan bersama keluarga mereka," katanya yang dipetik Bernama di Kuala Lumpur, semalam.

Noor Rashid berkata beliau tidak boleh memberi komen mengenai soal wang tebusan kerana tidak menguruskan perkara berkenaan.

Beliau mengulas dakwaan bahawa keluarga empat mangsa culik dari Sarawak itu membayar RM12 juta bagi membebaskan mereka daripada kumpulan militan Abu Sayyaf.

Keempat-empat mangsa culik itu ialah adik-beradik Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chii, 29; sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien, 21, dan anak kapal bot tunda Wong Hung Sing, 34, yang diculik di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna, Sabah pada 1 April lalu.

Mereka dibebaskan pada 8 Jun lalu.

Noor Rashid seterusnya berkata tumpuan kini ialah memastikan kejadian serupa tidak berulang, termasuk memperkukuhkan keupayaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan menjalinkan kerjasama dalam aspek keselamatan dengan negara jiran.

Kenyataan bercanggah

Semalam keluarga empat mangsa culik itu mengakui menyerahkan RM12 juta wang tebusan kepada polis untuk diserahkan kepada kumpulan militan Abu Sayyaf pada 24 Mei lalu.

 Harian Metro melaporkan, wang tebusan itu membabitkan sumbangan individu dan orang ramai sebanyak RM9 juta, pemberian syarikat perkapalan tempat mangsa bekerja sebanyak RM2 juta dan RM1 juta lagi hasil pajak gadai dua rumah keluarga mangsa di Pulau Li Hua, Sibu.

Bapa saudara kepada kepada salah seorang tebusan, Datuk Lau Cheng Kion berkata, wang tebusan itu diserahkan kepada Cawangan Khas di Sandakan pada 24 Mei lalu.

Pengakuan Lau itu bertentangan dengan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa tiada wang tebusan yang dibayar kepada kumpulan militan Abu Sayyaf.

Khalid sebelum ini dilapor berkata keempat-empat tebusan itu dibawa pulang ke tanah air oleh Unit Tindakan Khas (UTK) selepas dibebaskan tanpa sebarang pembayaran.

 

Lihat Komen
ADS