Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid: Wang RM12 juta disalur ke badan Islam Filipina
Diterbitkan:  Jun 16, 2016 4:18 PM
Dikemaskini: 8:22 AM

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, wang RM12 juta yang diperolehi oleh keluarga tebusan bagi pembebasan empat ahli mereka baru-baru ini telah disalurkan kepada badan Islam tertentu di Filipina yang melakukan aktiviti sah di negara itu.

Bagaimanapun, katanya, bayaran itu bukannya wang tebusan bagi membebaskan mereka selepas dikurung 69 hari.

"Kerajaan memutuskan tiada wang tebusan dibayar dan pihak polis mematuhi arahan kerajaan itu.

"Wang itu adalah hasil sumbangan orang ramai dan hasil jualan aset (keluarga mangsa) dan saya sahkan ia disalurkan bukan sebagai wang tebusan kepada badan tertentu di Filipina yang membantu perjuangan direstui ajaran Islam.

"Badan itu tidak ada kaitan dengan kumpulan pengganas atau penjenayah," katanya yang dipetik portal Berita Harian Online selepas sebuah majlis di Putrajaya, hari ini.

Keluarga mangsa tebusan sebelum ini mendedahkan mereka menyerahkan RM12 juta kepada polis Cawangan Khas, untuk tujuan wang tebusan.

Keluarga itu membuat penjelasan berkenaan selepas mereka yang menyumbang menuntut untuk mengetahui apa yang berlaku ke atas wang tersebut kerana menurut polis, keempat-empat mereka dibebaskan tanpa tebusan dibayar.

Keempat-empat mangsa culik itu ialah adik-beradik Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chii, 29; sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien, 21, dan anak kapal bot tunda Wong Hung Sing, 34, yang diculik di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna, Sabah pada 1 April lalu.

Mereka dibebaskan pada 8 Jun lalu.

Kumpulan militan Abu Sayyaf dilaporkan menuntut wang tebusan sebanyak RM18 juta, dan keluarga mereka merayu kepada orang ramai untuk mendapatkan jumlah tersebut.

Lihat Komen
ADS