Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahathir keras hati tak peduli jika Cina menang - Tunku Aziz
Diterbitkan:  Jun 24, 2016 12:49 PM
Dikemaskini: 5:31 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup berbuat apa sahaja dan tidak kisah sekiranya masyarakat Melayu bercakaran dan membiarkan Cina menang, kata Pengerusi Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Beliau mendakwa ini adalah kerana bekas perdana menteri itu adalah seorang yang "keras hati" dan sanggup berbuat apa sahaja asalkan niat serta agenda peribadinya tercapai.

Bekas pemimpin DAP itu juga menuduh gelagat Mahathir yang seolah-olah seperti "perdana menteri kedua" kerana terus mengganggu pentadbiran negara sekarang.

Beliau berkata pemimpin-pemimpin dunia lain, sebaik sahaja melepaskan jawatan masing-masing akan menghabiskan masa bersama keluarga, memenuhi jemputan sebagai penceramah atau berperanan di belakang tabir membantu kerajaan.

Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata ini tidak berlaku dengan Mahathir.

“Kalau dilihat Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton, selepas bersara, beliau memenuhi undangan berucap, menulis dan terbaru, membantu kempen Presiden untuk isterinya, Hillary.

“Jiran terdekat kita di selatan tanah air, Singapura memiliki mendiang Lee Kuan Yew, seorang perdana menteri yang lebih lama khidmatnya berbanding Dr Mahathir iaitu hampir tiga dekad (1959-1990) sebelum menjadi menteri kanan dalam kerajaan republik itu.

“Tetapi pernahkah kita rakyat Malaysia melihat gelagatnya seperti Dr Mahathir?” soalnya yang dipetik sebagai berkata oleh Utusan Online.

Abdul Aziz seterusnya menyoal sama ada boleh dibuat kesimpulan bahawa Dr Mahathir bukan menjadi perdana menteri selama 22 tahun tetapi lebih 35 tahun.

“Sejak 2003 melepaskan jawatan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi sehingga sekarang (2016) iaitu 13 tahun kemudian, beliau tidak habis-habis mengacau perdana menteri selepasnya,” katanya.

Abdul Aziz berkata demikian ketika mengulas amaran oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad bahawa tindakan Mahathir bersekongkol dengan DAP dan Parti Amanah Negara akan memudaratkan orang Melayu.

Lihat Komen
ADS