Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syahadah atas laut gadis Cebu, Filipina
Diterbitkan:  Jun 27, 2016 8:48 AM
Dikemaskini: 1:02 AM

Kebiasaannya perkahwinan membawa seseorang itu kepada Islam.

Tetapi bagi perempuan jelita Filipina, Hannah Abdullah, lain pula keadaannya, yang mengenal Islam selepas bercerai.

Pelbagai rintangan hidup, termasuk gagal dalam perkahwinannya, membuatkan Hannah atau nama lamanya Honeyline Esmas giat mencari tuhan bagi meluahkan rintihan, serta agama yang boleh membimbingnya.

Hannah, 34, seorang perancang projek sebuah syarikat minyak di Kuala Lumpur mula mempelajari Islam beberapa bulan sebelum memutuskan menganutinya.

“Saya pernah berkahwin ketika di Singapura tetapi ia tidak berjalan dengan baik dan kami bercerai.

“Hidup ini bagi saya sangat penuh dengan pelbagai perkara, hidup ini cuma sementara dan kehidupan kita hanyalah ujian.

“Jadi apa sahaja cabaran yang saya hadapi saya boleh laluinya kerana kini Allah sentiasa bersama saya,” kata Hannah kepada Malaysiakini.

Puasa sejak belum Islam

Bagaimanapun, bebas daripada gelora batin, siapa sangka anak kelahiran Cebu, ibu kota pertama Filipina, itu melafazkan dua kalimah syahadah di tengah-tengah gelora laut.

Beliau memutuskan memeluk Islam di sebuah surau kecil dalam sebuah kapal ketika sedang menuju ke sebuah pelantar minyak.

Ia bermula apabila seorang pelanggannya berminat ingin tahu kenapa beliau sudah berpuasa seperti orang Islam walaupun beragama Kristian ketika itu.

“Alhamdulillah, Ramadan tahun lalu saya ucap syahadat dalam surau kecil atas kapal. Seorang pelanggan saya beragama Islam bertanya kenapa saya berpuasa.

“Jadi, mereka tanya adakah saya mahu jadi orang Islam.

“Dan saya kata, ya, saya mahu jadi Islam. Saya mahu, tetapi tidak ada sesiapa yang nak bimbing saya.

“Jadi, selepas solat Isyak, saya mengucap syahadat di hadapan pelanggan saya itu,” katanya sambil tersenyum.

Cuti untuk beribadah

Hannah, yang tampil berjubah dan bertudung dengan kerongsang berbentuk daun, menjelaskan beliau memeluk Islam kerana suka pada konsep agama itu selain menenangkan hati dan perasaan.

Kini, menyambut Ramadan kali kedua sebagai orang Islam, beliau membuat keputusan bercuti dan menghabiskan masa untuk kelas agama dan ibadah.

“Saya bekerja berdasarkan projek yang ditawarkan. Projek yang sebelum ini sudah tamat dua bulan lalu dan sepanjang Ramadan ini saya tidak mahu bekerja dan hanya memfokuskan kepada kelas agama dan ibadah saya. Selesai Ramadan saya akan bekerja semula,” katanya lagi.

Beliau juga kini juga sudah bersedia untuk memberitahu kedua orang tuanya berkaitan perkembangan terbaru dirinya itu.

“Ibu saya warganegara Amerika Syarikat. Sejak (saya) peluk Islam, saya masih lagi belum jumpa ibu dan dia (di sana) belum tahu.

“Saya sedang berusaha keras untuk masuk kelas agama, kerana ia penting untuk saya tahu mengenai agama saya.

“Kalau nanti bila ibu sudah tahu saya masuk Islam dan jika dia tanya saya apa-apa, saya ada jawapan yang meyakinkan dia.

“Dan Insya-Allah dapat yakinkan dia mengenai keputusan saya,” katanya lagi yang diwawancara di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Tulisan ini bahagian ketiga daripada siri kisah perjalanan rohani memeluk Islam yang disiarkan Malaysiakini sempena Ramadan. Jika anda mempunyai kisah menarik untuk dikongsi, sila hubungi wartawan kami Anne Muhammad melalui e-mel [email protected]. - Editor
 

Dari Chennai, Selva bertemu Islam di KL

'Dia bimbing saya pada Islam, dia suamiku'

Lihat Komen
ADS