Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Slaid 'penganut Hindu kotor' bukan dari sumber berkredibiliti - UTM
Diterbitkan:  Jun 28, 2016 4:02 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Bahan rujukan yang digunakan dalam slaid bagi pengajaran kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mendatangkan kontroversi baru-baru ini didapati tidak berkredibiliti dan tidak tulen bagi mewakili tradisi serta kefahaman agama Hindu dan Sikh.

Naib Canselor UTM Prof Datuk Wahid Omar, dalam satu kenyataan berkata itu adalah satu daripada penilaian yang dibuat oleh Jawatankuasa Bebas Pakar Tamadun India yang dilantik UTM bagi menilai kandungan slaid yang mendatangkan kontroversi itu.

Menurutnya, jawatankuasa itu yang dianggotai oleh Prof Zaid Ahmad dan Prof Madya Sarjit Singh a/l Darshan Singh dari Universiti Putra Malaysia dan Prof M Rajantheran dari Universiti Malaya itu, secara sepakat mendapati terdapat terlalu banyak kesilapan fakta dalam kedua-dua slaid.

"Selain itu, terdapat banyak unsur judgemental dalam kedua-dua slaid dan ini tidak selari dengan semangat kursus TITAS yang diperkenalkan di institusi pengajian tinggi iaitu untuk memupuk persefahaman dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan agama," katanya.

Semalam, Wahid mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Siasatan Kes Kursus TITAS bagi membincangkan laporan Jawatankuasa Bebas Pakar Tamadun India.

"Jawatankuasa tersebut mencadangkan buku TITAS yang diterbitkan UTM yang digunakan sebagai buku teks kursus TITAS perlu ditarik daripada edaran dan dimaklumkan penarikan kepada umum," katanya.

Sebaliknya, buku teks TITAS yang diperakukan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dicadangkan untuk dijadikan buku rujukan utama dalam proses pengajaran dan penilaian, selain menggunakan silibus dan bahan pengajaran yang diselaras dan diperakukan oleh kementerian termasuk bahan Kursus Terbuka Massa Atas Talian (MOOC).

"Selain itu, semua pensyarah TITAS di UTM perlu dihantar menghadiri kursus Training of Trainers dengan pakar dari Tamadun India dan Tamadun China untuk memahami pengajaran mengenai tamadun berkenaan," kata Wahid.

Menerusi jawatankuasa itu juga, mereka turut menyarankan agar tenaga pengajar dari pelbagai kaum yang mempunyai kepakaran dalam Tamadun India dan China digunakan dalam pengajaran kursus TITAS di UTM bagi topik-topik berkenaan.

Selain itu, jawatankuasa itu juga turut mencadangkan UTM menganjurkan beberapa wacana ilmu mengenai ketamadunan pelbagai agama dengan menjemput pakar agama yang telah menjalankan penyelidikan secara intensif mengenai agama masing-masing.

"Selepas menerima laporan daripada jawatankuasa berkenaan, UTM kini sedang dalam proses mengambil tindakan terhadap pensyarah terbabit mengikut prosedur dan peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan UTM," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS