Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tukar nama KLIA2 suatu pembaziran, kata 4PAM
Diterbitkan:  Jun 28, 2016 9:26 PM
Dikemaskini: 1:30 PM

Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM) berpendapat rancangan untuk menamakan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) akan hanya membazirkan dana.

Presiden 4PAM, Ajit Johl dalam satu kenyataan berkata, dana itu lebih baik digunakan untuk meningkatkan perkhidmatan awam di lapangan terbang berkenaan.

"Klia2 telah beroperasi sejak dua tahun lalu dan ia tidak pernah menjadi isu. Kenapa sekarang?

"Klia2 direka bentuk untuk membolehkan kesalinghubungan yang lancar untuk syarikat penerbangan kos rendah tempatan dan antarabangsa serta syarikat penerbangan perkhidmatan penuh dan menamakannya semula sebagai terminal syarikat penerbangan kos rendah akan menggagalkan hasrat berkenaan," katanya.

Ajit berkata, menamakan semua lapangan terbang itu akan menyebabkan kekeliruan pada minda penumpang yang sudah biasa dengan nama klia2.

"Nama itu sudah pun diterima dan diiktiraf di peringkat antarabangsa serta ia berkait rapat dengan KLIA.

"Kami juga percaya penukaran kod lapangan terbang akan menjadi satu proses yang rumit kerana semua pencartaan dan peta telah digunakan oleh pihak berkuasa di seluruh dunia," tambahnya.

AirAsia dan pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd telah bertelingkah berikutan desakan syarikat penerbangan kos rendah itu untuk meneruskan kempen promosinya bagi merujuk klia2 sebagai LCCT2.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan MAHB sebelum ini berkata, klia2 adalah nama yang didaftar di bawah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS