Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Rawatan pesakit oleh doktor sama jantina bukan polisi wajib'
Diterbitkan:  Jun 29, 2016 3:52 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, rawatan kepada pesakit oleh doktor yang sama jantina bukan suatu polisi wajib.

Beliau berkata demikian dalam Facebook selepas Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kerajaan mempunyai rancangan untuk mengkhususkan doktor wanita sahaja yang menyambut kelahiran bayi di hospital awam,

“Kementerian Kesihatan akan mempertimbangkan dan menyantuni permintaan pesakit wanita untuk dirawat oleh doktor wanita sekiranya terdapat doktor wanita yang layak dan mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut yanng sedang bertugas pada masa itu.

“Keadaan dan syarat yang sama juga terpakai bagi permintaan daripada pesakit lelaki yang mahukan doktor lelaki.

“Tetapi ini bukan suatu polisi wajib, dan memerlukan budi bicara serta tertakluk kepada keadaan, apatah lagi sekiranya terdapat kecemasan perubatan.

“Maka mana-mana doktor (lelaki mahupun wanita) yang ada perlu memberikan rawatan segera terutamanya jika melibatkan nyawa!” katanya.

Isnin lalu, Hilmi berkata rancangan untuk mengkhususkan petugas wanita sahaja yang menyambut kelahiran bayi belum dapat dilaksanakan kerana kekurangan doktor wanita dalam bidang Perbidanan dan Sakit Puan (O&G).

"Dalam kerajaan memang terlebih doktor wanita tetapi tidak ramai doktor wanita ini yang berminat dalam Obstetrik dan Ginekologi.

"Maka kita perlu tunggu lagilah supaya lebih ramai lagi doktor yang akan dilatih dalam bidang tersebut," katanya yang dipetik oleh Bernama.

Lihat Komen
ADS