Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Difteria: 2 kes baru di Sabah, lima kematian sehingga ini
Diterbitkan:  Jun 30, 2016 6:04 AM
Dikemaskini: Jun 30, 2016 12:22 AM

Dua kes terbaru difteria berlaku di Sabah dengan seorang daripadanya meninggal dunia, manakala seorang lagi sedang
dirawat di hospital, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dengan ini, jumlah kematian akibat difteria di Malaysia adalah lima kes sehingga semalam, sementara 13 kes disahkan dijangkiti difteria, katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata kes kematian terbaru itu melibatkan kanak-kanak berumur tiga tahun yang tidak menerima imunisasi difteria.

"Pesakit disahkan menghidap difteria pada Khamis lepas (23 Jun) dan meninggal dunia pada Isnin (27 Jun). Manakala kes kedua pula adalah seorang kanak-kanak bukan warganegara yang berumur lima tahun dan disahkan menghidap difteria semalam (28 Jun).

"Kini dia dirawat di wad isolasi hospital dan dalam keadaan stabil," katanya.

Mengenai pecahan kes tersebut, beliau berkata tiga kes dikesan di Melaka dengan satu kematian, Kedah (enam kes dengan satu kematian) dan Sabah (empat kes dengan tiga kematian).

Menurutnya, kesemua kes di Sabah dilaporkan berlaku secara sporadik (terpencil) dan tiada hubung kait antara satu sama lain, manakala kes difteria di Kedah dan Melaka adalah kejadian kluster dalam keluarga.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata perkhidmatan imunisasi di klinik-klinik kesihatan, hospital dan klinik swasta dilaporkan mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Katanya, ibu bapa perlu terus komited membawa anak-anak mereka mendapatkan imunisasi mengikut jadual.

"Ibu bapa dengan anak-anak di bawah umur tujuh tahun dipohon untuk menyemak temujanji imunisasi anak-anak. Sekiranya cicir imunisasi, mohon untuk mendapatkan imunisasi di klinik berhampiran. Anggota kesihatan akan mengatur jadual baharu yang sesuai.

"Semoga sambutan baik ini berkekalan demi memastikan kesihatan anak serta kesihatan umum sentiasa terpelihara melalui imuniti kelompok, seterusnya penyakit cegahan vaksin tidak menjadi masalah kesihatan awam lagi," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS