Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dadah dimasuk dalam botol minyak wangi
Diterbitkan:  Jun 30, 2016 4:24 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Polis menahan lima individu dan merampas sejumlah dadah bernilai RM200,000 termasuk cecair dadah yang diletakkan di dalam 36 botol minyak wangi di sebuah restoran dan sebuah rumah di Taman Century di Johor Bahru dua hari lepas.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata kesemua mereka melibatkan empat lelaki tempatan dan seorang wanita rakyat Thailand berumur 29 hingga 35 tahun ditahan selepas polis bertindak atas maklumat berkaitan
jenayah berkenaan.

"Polis terdahulu menahan dua lelaki tempatan pada kira-kira 11.30 malam di restoran tersebut dan berjaya merampas 30 biji pil ecstasy serta 36 botol berisi cecair dadah yang diletakkan dalam botol minyak wangi bersaiz 7.5 ml setiap botol," katanya kepada pemberita di Johor Bahru hari ini.

Mohd Zakaria berkata susulan penahanan terbabit, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di perumahan sama pada hari yang sama dan menahan dua lagi lelaki tempatan serta wanita rakyat Thailand berkenaan.

Beliau berkata polis kemudian merampas sejumlah dadah di rumah tersebut termasuk 323.9 gram serbuk ecstasy, 13.08 liter cecair dadah, 9.08 gram syabu, 58 paket serbuk eno serta dua kenderaan.

Katanya siasatan awal mendapati cecair dadah di dalam 36 botol minyak wangi itu berisi campuran amphetamine dan ketamin yang dijual di pusat hiburan di sekitar bandar raya ini pada harga RM100 sebotol.

"Dipercayai cecair dadah tersebut dititiskan dalam gelas minuman manakala penggunaan serbuk eno itu pula sebagai ramuan tambahan menghasilkan kesan khayal yang kuat kepada penggunanya," katanya dengan menambah cecair terbabit dipercayai diperoleh dari luar bandar raya ini.

Menurut Mohd Zakaria, pemeriksaan mendapati kesemua lima individu tersebut positif terhadap dadah dengan tiga daripadanya memiliki rekod berkaitan dadah.

Kesemua mereka yang dipercayai terlibat dengan kegiatan tersebut sejak sebulan lepas kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- Bernama

Lihat Komen
ADS