Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MRT: Mahkamah putuskan pengambilan tanah adalah sah
Diterbitkan:  Jun 30, 2016 4:58 PM
Dikemaskini: 8:59 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan sekumpulan 39 pemilik strata pusat beli-belah Ampang Park bagi mencabar pengambilan tanah untuk projek pembinaan MRT Stesen Ampang Park.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu selepas mendapati kelulusan Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan bagi pengambilan tanah itu dibuat mengikut peruntukan
undang-undang yang telah ditetapkan.

Dalam penghakimannya Hanipah bersetuju dengan hujahan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) selaku responden ketiga bahawa tujuan pengambilan tanah itu adalah atas dasar keselamatan.

Katanya pengambilan tanah oleh kerajaan itu sah dan ia juga bertujuan menjadikan projek berkenaan lebih efisien.

Hakim juga mengarahkan pemohon membayar kos sebanyak RM70,000 kepada kesemua responden, iaitu RM35,000 untuk responden pertama dan kedua iaitu Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, dan Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan; dan RM35,000 untuk MRT Corp.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili responden pertama dan kedua; Robert Lazar mewakili responden ketiga iaitu MRT Corp, manakala Datuk Edward Ng Boon Seong dan Jason Ng Kau mewakili kesemua pemohon.

Pada 8 Januari lepas, 39 peniaga berkenaan, yang merupakan pemegang strata bagi premis itu memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan Kementerian Wilayah Persekutuan, Kerajaan Malaysia, Pengarah Tanah dan Galian dan Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

Bagaimanapun, pada 20 Januari lepas, kumpulan itu menggugurkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonan semakan kehakiman itu.

Mereka memohon deklarasi bahawa Borang D bertarikh 17 Ogos 2015 dan Borang E bertarikh 22 Oktober 2015 Akta Pengambilan Tanah 1960 yang dikeluarkan responden adalah tidak berperlembagaan, menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Pada 18 April lepas Mahkamah Tinggi membenarkan MRT Corp sebagai pencelah dan dinamakan sebagai responden.

Sementara itu, Edward yang ditemui pemberita selepas prosiding itu berkata anak guamnya tidak berpuas hati dengan keputusan hari ini dan menerima arahan untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS