Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khutbah: Vaksin patuh prinsip hukum Islam
Diterbitkan:  Jul 1, 2016 2:58 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengingatkan umat Islam bahawa pengambilan vaksin diiktiraf oleh syarak melalui prinsip sadd az-zarai’ (menutup pintu kerosakan).

Menurut teks khutbah itu, Islam membolehkan umatnya mengambil suntikan vaksin yang menggunakan bahan yang diharuskan demi menjaga kepentingan ummah.

“Menurut syarak, imunisasi merupakan satu jalan pencegahan yang amat dituntut dalam Islam sesuai dengan kaedah usul fiqh iaitu sadd az-zarai’ .

“Dalam isu ini, vaksin bukan lagi merupakan kehendak seseorang, tetapi menjadi keperluan kepada masyarakat secara umumnya,” kata mimbar yang memetik ayat 195 al-Baqarah.

Ayat itu mengingatkan umat Islam supaya tidak membahayakan diri sendiri dengan sengaja.

Khutbah bertajuk “Sayangi diri, jasmani dan rohani” itu berhujah, suntikan pelalian (imunisasi/vaksinasi) salah satu aspek penting penjagaan diri dan pencegahan penyakit.

Menjaga nyawa

Ia juga, menurut mimbar, bagi menghindari masyarakat daripada terdedah kepada penyakit-penyakit berbahaya yang boleh mengancam nyawa.

Pada 18 Jun lepas, seluruh Malaysia gempar apabila seorang kanak-kanak tujuh tahun meninggal dunia di Melaka akibat difteria.

Empat hari kemudian seorang lagi kanak-kanak berusia dua tahun meninggal dunia di Kedah akibat penyakit sama.

Menurut Kementerian Kesihatan, kedua-dua mangsa tidak menerima imunisasi yang lengkap.

Mimbar mengingatkan, berdasar prinsip maqasid syariah dalam menjaga nyawa, Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan dijalankan secara percuma kepada bayi dan kanak-kanak di klinik kerajaan.

Kesannya, sebanyak 85 peratus kematian kanak-kanak berjaya diturunkan bagi tempoh 1970 hingga 2000, sekali gus membasmi cacar dan polio.

Lihat Komen
ADS