Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyokong militan serang balai polis Solo
Diterbitkan:  Jul 5, 2016 12:49 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Seorang lelaki maut selepas meletupkan dirinya di pekarangan Ibu Pejabat Polis Solo di Jawa Tengah Indonesia pagi tadi.

Menurut laporan tempo.co kejadian berlaku kira-kira jam 7.35 pagi.

Sumber berkata lelaki belum disahkan identitinya itu cuba merempuh masuk ke kawasan ibu pejabat polis wilayah berkenaan sebelum meledakkan dirinya.

Maklumat awal menyatakan seorang anggota polis tercedera dalam serangan itu.

Serangan berkenaan berlaku kurang dari sebulan selepas seorang pengebom bunuh diri berjaya dihalang daripada bertindak di Surabaya.

Presiden Indonesia Joko Widodo berkata beliau sudah mengarahkan ketua polis negara itu memburu rangkaian pengganas di negara berkenaan bagi mengekang serangan seumpama itu.

Di sebalik serangan pagi tadi beliau dilaporkan tetap meneruskan rancangan menyambut Aidilfitri di bandar berkenaan hujung minggu ini.

Solo adalah daerah kelahiran Joko dan beliau masih sering berulang-alik antara bandar itu dengan Jakarta sehingga kini.

Setakat ini belum dapat dipastikan siapa dalang di sebalik serangan berkenaan namun Ketua Agensi Perisikan Indonesia Sutiyoso berkata, suspek utama ialah militan ISIS.

Kata Sutiyoso serangan pagi tadi menunjukkan kumpulan pengganas dan penyokong mereka mengubah pendekatan operasi selepas terdesak di Iraq dan Syria.

"Di Indonesia ada kecenderungan untuk mereka menyerang anggota polis dan perisikan," katanya kepada Metro TV.

Sementara itu, Bernama melaporkan Indonesia sekali lagi digemparkan dengan kejadian letupan bom apabila Markas Polis Komando Daerah (Mapolresta) di Solo diserang dengan letupan bom bunuh diri oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

Letupan bom itu berlaku di luar kawasan Malpolresta di Surakarta, Solo di Jawa Tengah pada kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi waktu tempatan.

Ketua Biro Penerangan Masyarakat Polis Republik Indonesia, Agus Rianto memberitahu sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen tempatan, seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal secara tiba-tiba meletupkan bom dibadannya di hadapan balai polis berkenaan.

Katanya, dalam kejadian itu seorang anggota polis yang bertugas di luar kawasan balai berkenaan cedera parah akibat terkena ledakan bom berkenaan.

Beliau berkata, lelaki terbabit pada mulanya mahu memasuki balai polis itu atas alasan ingin membeli makanan sebelum ditahan oleh polis pengawal sebelum meletupkan bom.

Agus berkata, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti identiti lelaki terbabit dan percaya ia adalah antara aktiviti terancang puak pengganas.

Ekoran kejadian itu, Ketua Polis Negara Badrodrin Haiti telah mengarahkan pasukan polis di seluruh negara membuat kawalan ketat terutamanya pada malam takbiran Aidil Fitri pada malam ini dan solat Hari Raya esok.

Katanya polis tidak akan melarang masyarakat menyertai acara takbir keliling kampung dan kawasan perumahan tetapi mereka harus meminta kebenaran polis terlebih dahulu.

Presiden Indonesia, Joko Widodo pula dipetik oleh siaran-siaran televisyen sebagai berkata, rakyat diminta bertenang tetapi harus sentiasa berwaspada.

Katanya, beliau telah mengarahkan polis supaya bertindak untuk mencari dan melumpuhkan jaringan secara berterusan kegiatan pengganas itu.

Joko yang kini berada di Padang, Sumatera Barat bagi menyambut malam Aidilfitri dan dijadual bersolat Hari Raya di wilayah itu turut dijadual pulang ke kampung halamannya di Solo, Jawa Tengah, esok.

Pada awal Januari lepas, empat lelaki yang dipercayai anggota puak pengganas maut setelah meletupkan beberapa butir bom buatan sendiri di hadapan pusat membeli belah di Sarinah Thamrin.
Dalam kejadian di depan pondok polis dan kawasan parkir bangunan itu, empat orang awam turut terbunuh dan 27 yang lain cedera.

Lihat Komen
ADS