Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Letupan bom kereta, satu terbunuh, tiga cedera di Songkhla
Diterbitkan:  Jul 5, 2016 5:53 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Seorang anggota polis terbunuh dalam serangan bom kereta di sebuah pusat pemeriksaan di Songkhla, selatan Thailand, hari ini, menurut akhbar The Nation.

Akhbar harian berbahasa Inggeris itu memetik seorang pegawai yang tidak dinamakan berkata bahawa letupan berpunca daripada bom buatan sendiri yang disembunyikan di dalam trak Isuzu tanpa plat lesen yang dirampas ketika pemeriksaan.

Serangan itu berlaku di sempadan wilayah antara Songkhla dan Pattani, dan dilaporkan menyebabkan kebakaran yang memusnahkan keseluruhan pondok pemeriksaan.

Menurut akhbar itu, pusat pemeriksaan Koh Mor Kaeng berfungsi sebagai pintu masuk utama dari seluruh Thailand untuk tiga wilayah selatan yang bersempadan dengan Malaysia.

Mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai Koperal Thani Saensuwan. Tiga anggota polis lain turut cedera dan dikejarkan ke hospital.

Wilayah Thai selatan sentiasa bergolak akibat gerakan pemisah agama yang menjadikannya sebagai sasaran serangan.

Bagaimanapun, serangan hari ini dikaitkan dengan beberapa pengeboman pengganas di seluruh dunia.

Awal hari ini, seorang pengebom meletupkan dirinya di sebuah balai polis di Jawa Tengah, Indonesia yang menyebabkan seorang anggota polis cedera.

Sementara itu, amaran bom dikeluarkan ke atas sebuah pesawat Israel dalam perjalanan dari New York ke Tel Aviv hari ini. Jet tentera udara Switzerland bergegas mengiringi pesawat berkenaan.

Semalam, pengebom bunuh diri menyerang tiga bandar di Arab Saudi, termasuk ibu pejabat keselamatan Masjid Nabawi di Madinah, tempat kedua paling suci dalam Islam.

Sekurang-kurangnya empat pegawai keselamatan terbunuh.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS