Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Di sebalik hujan yang melanda ibu negara , bahang ketika penyerahan sepucuk memorandum bantahan di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur bertukar menjadi ‘panas’ apabila kira-kira 200 penunjuk perasaan dihalang oleh pihak polis dari menghampiri bangunan tersebut.

Kecewa, penunjuk perasaan yang berbaju merah mula menolak anggota polis yang mengepung kawasan itu.

Kebanyakannya peserta yang berpakaian serba merah dan diketuai oleh exco Pemuda Umno Ibdillah Ishak, mendendangkan lagu 'Inilah Barisan Kita' sebelum berarak ke ibu pejabat DAP itu.

Sambil membawa kain rentang dan sepanduk mengecam DAP, kata-kata perkauman juga dilemparkan.

Bantahan itu adalah berhubung posting ahli parlimen Taiping Nga Kor Ming dalam Facebook yang didakwa sebagai menghina masyarakat Islam.

Mereka berkata, Nga telah mempersendakan amalan pemberian duit raya sebagai ‘dedak’.

Pada 6 Julai lalu, Nga dalam ucapan Aidilfitri menyiarkan karikatur kanak-kanak dan tetamu menerima sedekah duit raya dan menyamakannnya sebagai rasuah dan 'dedak'.

Posting itu kemudiannya dikeluarkan dari laman Facebooknya.

Nga juga mengundang masalah apabila Selasa lalu memuat naik gambar yang berlatar belakangkan rumah api dan bendera Amerika Syarikat dalam ucapan Aidilfitri di akaun Facebooknya.

Ia dikatakan membawa makna simbol agama Kristian.

Perhimpunan hari ini juga tegang apabila berlaku tolak menolak dan disusuli dengan bunyi letupan mercun bola yang kuat.

Pihak polis kemudiannya, hanya membenarkan sekumpulan kecil pemimpin perhimpunan itu untuk masuk bertemu dengan wakil DAP Chu Yoon Ming bagi menyerahkan memorandum tersebut.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii Razlan mendesak pihak polis mengambil tindakan mengikut Akta Hasutan ke atas Nga kerana mempermainkan agama Islam.

“Saya nak minta pihak polis akta hasut perlu diaktifkan kepada Nga Kor Ming. Tangkap dia, jadikan beliau teladan.

“Jangan mempermain agama sewenang-wenangnya,” katanya dan disusuli letupan mercun bola yang dibakar untuk kali kedua.

Razlan turut mendesak supaya Nga meminta maaf secara terbuka kerana tindakannya itu dilihat tidak mempunyai integriti serta anti Islam.

“Kami mendesak Nga Kor Ming untuk tampil dengan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh orang islam di negara ini.

“Sebabnya kerana dia adalah seorang yang kolot dan tidak mempunyai integriti dan moral yang amat rendah serta anti- Islam,” katanya.

Tidak ada sebarang tangkapan dibuat dan peserta perhimpunan itu bersurai pada jam 3.30 petang.

Sebelum meninggalkan ibu pejabat DAP mereka bersorak 'Selamat Hari Raya'.

Lihat Komen
ADS