Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Cadangan Tuan Ibrahim langkah ke arah yang betul'

Cadangan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk mewujudkan 'gencatan senjata' di kalangan parti pembangkang adalah satu langkah ke arah yang betul, kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian.

Katanya, cadangan Tuan Ibrahim adalah satu "kenyataan yang baik" dan sepatutnya disambut baik oleh rakyat.

Walaupun mungkin ada orang yang tidak yakin dengan pendirian PAS, namun mereka perlu membiarkan parti-parti politik untuk mencapai kompromi.

Dengan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh masyarakat hari ini, Ibrahim berkata senario politik yang lebih kompetitif adalah apa yang pastinya negara perlukan.

"Kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang) akan perlu bekerja keras untuk memenangi hati rakyat.

"Tetapi jika pembangkang tidak bersama dan menghabiskan lebih banyak masa bertelagah antara satu sama lain, maka ia akan memberi kemenangan mudah kepada Barisan Nasional seperti yang kita lihat dalam dua pilihan raya kecil lalu," katanya kepada Malaysiakini.

Tuan Ibrahim, katanya, membuat cadangan itu selaras dengan kepentingan terbaik PAS menjelang pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya Tuan Ibrahim bercakap mengenai apa yang terbaik untuk PAS, yang juga merupakan kepentingan terbaik bagi parti-parti pembangkang yang lain.

Ibrahim percaya perlunya bagi semua parti pembangkang untuk bersama ke arah mencapai satu kompromi.

Ada keperluan, tegasnya, untuk pemimpin bersikap seperti pemimpin dan mula membincangkan cara terbaik ke arah itu.

Bagaimanapun, katanya, ia perlu dilakukan secara berperingkat "kerana banyak perkara telah berlaku sejak terkuburnya Pakatan Rakyat.

"Banyak komen yang menyakitkan dibuat terhadap satu sama lain," kata Ibrahim.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik Khoo Kay Peng pula menegaskan bahawa mereka juga harus mewujudkan pakatan pilihan raya.

"Gencatan senjata sahaja tidak cukup, mesti ada pakatan pilihan raya, mereka mesti kembali kepada tahun 2008.

"Apa yang perlu dilakukan ialah wujudkan pakatan pilihan raya, mereka perlu bersetuju untuk tidak bertanding antara satu sama lain," katanya.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS