Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: PAS pakat dengan pihak yang ikut acuannya
Diterbitkan:  Jul 14, 2016 9:48 PM
Dikemaskini: 2:38 PM

PAS sedia berpakat dengan mana-mana pihak yang setia dan dapat mengikut acuan parti itu demi menegakkan Islam, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kenyataan beliau itu muncul sehari selepas gesaan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man supaya parti-parti pembangkang melakukan 'genjatan senjata' bagi menentang BN.

"PAS terus sedia berpakat dengan semua pihak dan tidak akan bersama dengan sesiapa sahaja yang tidak setia dan bersedia bersama acuan PAS, berpandukan konsep yang ditunjuk oleh Al-Quran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan memetik ayat-ayat al-Quran, Hadi mengingatkan bahawa matlamat PAS adalah untuk menegakkan Islam dalam masyarakat dan negara.

"PAS wajib beristiqamah dan bertegas dalam perkara asas tersebut. Semua pihak yang melanggar sempadan ini jangan cuba mengheret PAS terkeluar daripada landasannya.

"Ketahuilah bahawa perjuangan ini memandang dua belah mata, ke arah kemenangan akhirat yang paling besar dan kemenangan dunia yang diuji menjadi jambatan ke akhirat juga," katanya dalam kenyataan yang disiarkan portal Harakahdaily itu.

Menurutnya lagi, PAS mempunyai pendekatan tersendiri bersama Islam dan wajib beristiqamah dengannya.

"Istiqamah dijadikan perkataan penting kepada tema beberapa kali muktamar, sehingga mereka yang tidak beristiqamah keluar PAS atau dipecat," katanya lagi.

"Teruskan Istiqamah, jangan diheret oleh musuh atau kawan yang berpura-pura, tangan kiri yang bergelumang memegang kita, tangan kanannya bergantung kepada lawan yang juga mengheret kita daripada "Al-Siratol Mustaqim"," kata beliau.

Tuan Ibrahim semalam menyeru “gencatan senjata” sesama pembangkang bagi menggembleng tenaga untuk menumbangkan BN.

Katanya, parti-parti pembangkang perlu berkompromi dan mencari titik persamaan tanpa membelakangkan dasar masing-masing.

Gesaan itu turut disambut baik oleh beberpa pemimpin PKR dan DAP.

PAS sebelum ini memutuskan hubungan dengan DAP setelah perbalahan berterusan dalam isu pelaksanaan hudud.

Langkah itu menyebabkan Pakatan Rakyat yang dianggotai bersama DAP dan PKR terkubur. Manakala sebahagian lagi pemimpinnya keluar parti dan menubuhkan AMANAH.

Lihat Komen
ADS