Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjangka selepas Akta 355 diperluaskan dan dilaksanakan, orang bukan Islam akan mula memilih syariah Islam kerana melihat undang-undang itu dijalankan secara adil.

Katanya, situasi itu sangat digeruni oleh mereka yang membantah rang undang-undang (RUU) ahli persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) yang juga dikenali sebagai Akta 355, bagi memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah.

“Apabila bidang kuasa mahkamah syariah dilaksanakan, orang bukan Islam akan ada pilihan.

“Bila melihat undang-undang Islam lebih baik, secara automatik pada akhirnya orang bukan Islam akan memilih syariah Islam, ini yang ditakuti oleh puak-puak ini (menentang RUU 355),” katanya.

Hadi berkata demikian dalam ucapannya ketika majlis himpunan NGO-NGO Islam sempena Aidilfitri di Pusat Islam malam tadi.

Jelasnya sudah menjadi tanggungjawab setiap orang Islam di negara ini untuk menyokong RUU itu dalam usaha memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah setanding mahkamah sivil.

“Tanggungjawab yang sangat penting pada hari ini adalah untuk meminda (Akta) 355 (mengenai) bidang kuasa mahkamah syariah.

“Kalau dia (orang Islam) tak nak naikkan taraf mahkamah dia, apa guna dia jadi orang Islam,” tegasnya.

Hadi turut membidas sebilangan orang Islam yang menolak undang-undang persendirian yang dibawanya sebagai ‘sangat pelik’.

“Mahkamah syariah hanya berkait dengan orang Islam sahaja, tak ada kena mengena dengan orang bukan Islam.

“Kenapa orang bukan Islam menentang, ini saya rasa pelik. Mengapa ada (orang) Islam menyokong bukan Islam, lagi pelik,” katanya.

Majlis malam tadi dihadiri seramai 400 orang dari pelbagai NGO Islam seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

RUU Hadi mengenai Akta 355 itu dibentangkan di Parlimen pada 26 Mei, hari terakhir persidangan, setelah dilangkau dalam dua persidangan sebelumnya.

RUU itu, jika diluluskan di Parlimen, dilihat akan membolehkan Kelantan melaksanakan hudud sebahagiannya apabila mahkamah syariah kemudiannya akan dibenarkan untuk mengenakan semua hukuman hudud kecuali hukuman mati.

Pada masa ini, kuasa-kuasa mahkamah syariah terhad kepada menjatuhkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Lihat Komen
ADS