Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NYT: Najib tak dinamakan dalam aduan Jabatan Keadilan AS
Diterbitkan:  Jul 20, 2016 4:21 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan dinamakan dalam aduan pelucuthakan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS), menurut laporan akhbar negara itu The New York Times.

Bagaimanapun, jabatan itu dijangka menamakan anak tirinya Riza Aziz, seorang penerbit filem Hollywood, dan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low.

Khadem Al Qubaisi, bekas eksekutif syarikat Emiriah Arab Bersatu (UAE), International Petroleum Investment Company (IPIC) turut dinamakan, menurut NYT lagi.

Kerajaan AS dilapor merancang menyita aset bernilai lebih AS$1 bilion yang dibeli oleh pihak-pihak dekat dengan Najib dan dikatakan datang daripada 1MDB.

Aset-aset itu dilapor dalam bentuk harta tanah serta barangan mewah dan seni. Ia dikatakan kes terbesar dibawa oleh Jabatan Kehakiman AS.

Walaupun bahagian itu biasanya hanya menyita aset dan bukan mendakwa individu, laporan itu menyebut aduan berkaitan aset tidak menghalang pertuduhan jenayah yang mungkin.

NYT berkata pihaknya gagal mendapatkan reaksi segera Riza, Jho Low atau Khadem.

Akhbar berpengaruh New York itu melaporkan, pembelian AS$150 juta kediaman di bandar itu dan Los Angeles, serta beberapa karya seni, dibuat melalui syarikat tidak aktif.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan laporan NYT ini dan cuba mendapatkan reaksi 1MDB berhubung perkara itu.

Sebelum ini, The Wall Street Journal melaporkan bahawa Jabatan Keadilan AS dijangka menyita aset-aset yang dikaitkan dengan 1MDB – yang dirujuk sebagai sitaan terbesar dalam sejarah AS.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS