Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DOJ kesan tiga tahap pengubahan wang haram melalui 1MDB
Diterbitkan:  Jul 21, 2016 12:19 PM
Dikemaskini: 4:31 AM

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memperincikan dalam saman mereka apa yang digambarkan sebagai 'tiga tahap' pengubahan wang haram melalui dana bermasalah negara 1MDB.

Peringkat pertama dipanggil 'fasa Good Star',  peringkat kedua dikenali  'fasa Aabar BVI' dan peringkat ketiga adalah 'fasa Tanore'.

Di peringkat Good Star, DOJ berkata lebih AS$ 1 bilion secara curang dipesongkan daripada 1MDB.

"Antara 2009 dan 2011, di bawah alasan pelaburan usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International, sebuah syarikat minyak Saudi swasta, pegawai-pegawai 1MDB dan lain-lain menguruskan pemindahan lebih AS$ 1 bilion daripada 1MDB ke akaun bank Switzerland yang dipegang atas nama Good Star Limited," menurut tuntutan itu.

Salah satu cara pegawai 1MDB mencapai lencongan dana ini adalah dengan memberikan maklumat palsu kepada bank-bank mengenai pemilikan Good Star, katanya.

"Berbeza dengan representasi yang dibuat oleh pegawai-pegawai 1MDB, akaun Good Star itu secara benefisial tidak dimiliki oleh PetroSaudi atau usaha sama itu, tetapi oleh Low Taek Jho, atau Jho Low, seorang rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kedudukan rasmi dengan 1MDB, tetapi terlibat dalam pembentukannya," katanya.

Low katanya telah 'mencuci' lebih daripada AS$ 400 juta daripada dana yang disalahgunakan dari 1MDB melalui Good Star ke Amerika Syarikat, dan selepas itu dana tersebut digunakan untuk "kepuasan peribadi" Low dan rakan-rakannya.

Peringkat seterusnya adalah Aabar BVI, di mana DOJ mendakwa kira-kira AS$ 1,367 bilion telah disalahgunakan daripada 1MDB.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada hasil 1MDB yang diperoleh melalui dua tawaran bon berasingan dan ditanggung oleh Goldman Sachs International pada tahun 2012, menurut tuntutan mahkamah.

Bon ini telah dijamin oleh 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC), katanya.

"Sebaik sahaja selepas 1MDB menerima hasil pengeluaran kedua-dua bon, pegawai-pegawai 1MDB menyebabkan sebahagian besar daripada hasil - kira-kira AS$ 1,367 bilion, satu jumlah yang bersamaan lebih 40 peratus daripada jumlah hasil yang bersih yang diperoleh - untuk dipindahkan ke akaun bank Switzerland milik entiti British Virgin Islands yang dipanggil Aabar Investments PJS Limited (Aabar BVI)," tuntutan mahkamah dibaca.

Aabar BVI telah dicipta dan dinamakan untuk memberi gambaran bahawa ia dikaitkan dengan Aabar Investments PJS (Aabar), anak syarikat IPIC, walaupun pada hakikatnya tiada hubungan antara Aabar BVI dengan Aabar atau IPIC, katanya.

"Akaun bank Switzerland yang dimiliki oleh Aabar BVI telah digunakan untuk mengepam hasil daripada jualan bon 2012 untuk faedah peribadi pegawai-pegawai di IPIC, Aabar dan 1MDB dan rakan mereka," katanya.

Dana yang dialihkan itu, katanya, telah dipindahkan ke tempat-tempat lain, antaranya akaun bank Singapura dikawal oleh Eric Tan yang merupakan sekutu Low.

Dana tersebut kemudiannya diedarkan untuk faedah peribadi pelbagai individu, termasuk pegawai-pegawai di 1MDB, IPIC atau Aabar, dokumen itu dibaca.

Selepas itu adalah peringkat Tanore, di mana DOJ berkata beberapa individu termasuk pegawai-pegawai 1MDB, pada tahun 2013 telah melencongkan lebih AS$ 1.26 bilion daripada sejumlah AS$ 3 bilion yang diperoleh 1MDB melalui penawaran bon ketiga dari Goldman Sachs.

Hasil tawaran bon ini sepatutnya untuk membiayai usaha sama antara 1MDB dan Aabar yang kenali syarikat pelaburan Abu Dhabi Malaysia (Admic), kata tuntutan mahkamah itu.

Bagaimanapun, hari selepas jualan bon, sebahagian besar daripada hasil itu sebaliknya dialihkan ke akaun bank Singapura yang dimiliki Tanore Finance Corporation, di mana Tan adalah pemilik benefisial yang direkodkan, katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS