Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan campur tangan urusan AS, kata Mat Sabu
Diterbitkan:  Jul 22, 2016 11:36 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa semua pihak agar tidak mencampuri urusan dan menghormati hak Amerika Syarikat bagi mengambil tindakan berhubung wang haram yang masuk ke negara itu.

Presidennya, Mohammad Sabu berkata sebelum ini kerajaan menentang campur tangan Amerika Syarikat ke atas mana-mana negara, justeru Malaysia juga tidak boleh campur tangan dalam hal-hal negara lain.

“Amerika Syarikat sekarang ini mahu mendakwa mereka yang terlibat membawa wang haram masuk ke negara mereka. Mereka tidak berkompromi kepada orang yang melakukan kesalahan di negara mereka.

“Maka jangan pula kita campur tangan jika mereka mahu mengambil tindakan kepada individu membawa wang haram ke negara mereka, seperti juga kita tidak mahu mereka campur tangan hal ketenteraan dan kepolisan dalam negara kita,” kata Mohammad dalam satu kenyataan.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) Rabu lalu mengemukakan saman sivil untuk menyita lebih AS$1 bilion aset didakwa diperolehi melalui dana 1MDB.

Ia sebahagian daripada dana AS$3.5 bilion yang disalahgunakan dan aset lain yang terlibat termasuk rumah agam dan mewah, karya seni, jet peribadi dan kutipan filem 'The Wolf of Wall Street'.

Dalam saman DOJ Amerika Syarikat yang difailkan, AS$731 juta dana 1MDB didakwa mengalir ke akaun bank rasmi 'Malaysian Official 1'.

DOJ menyifatkan tokoh itu sebagai "pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia yang juga mempunyai kedudukan berkuasa dalam 1MDB".

Mengulas lanjut Mohammad atau lebih mesra dengan panggilan mat Sabu meminta semua pihak tidak terlalu naif dalam perkara tersebut.

“Jangan kita terlalu naif. Apabila Amerika Syarikat mahu memburu pesalah wang haram masuk ke negara mereka, kita pula kata Amerika cuba nak campur tangan urusan negara,” kata Mat Sabu.

Menurutnya, di Malaysia peguam negara yang mahu memulakan siasatan ke atas 1MDB telah dipecat manakala pegawai yang mahu menyiasat kes tersebut dijumpai 'mati di dalam tong drum'.

Malah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disiasat oleh polis dan beberapa pegawainya juga dipecat serta ditukar ke bahagian lain, dakwanya.

“Timbalan perdana menteri, menteri dan menteri besar dan pegawai tinggi kerajaan yang mempersoal 1MDB, juga kemudian dipecat.

“Tiada penjelasan menyeluruh terhadap pembunuhan dan pemecatan ini. Ini semua menimbulkan spekulasi buruk ke atas Malaysia.

"1MDB dan perdana menteri dilihat begitu kebal dalam isu ini. Sepatutnya sudah ada satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat keseluruhan isu ini,” tambah Mat Sabu.

Lihat Komen
ADS