Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hisham alu-alu tindakan AS, tak mahu ada jadi mangsa

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien mengalu-alukan tindakan Amerika Syarikat untuk memfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset-aset yang didakwa berkaitan dengan 1MDB.

Katanya, ini kerana beliau tidak mahu ada individu yang tidak berdosa menjadi mangsa berhubung perkara tersebut.

“Sebagai naib presiden kepada parti, Umno konsisten dalam isu 1MDB ini dan saya tetap berpandangan isu 1MDB merupakan satu isu yang serius serta penting untuk ditangani.

“Bagaimanapun, dalam kita menanganinya, jangan ada pihak tidak berdosa menjadi mangsa,” kata Hishammuddin pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat pada Rabu lalu mengemukakan saman sivil untuk menyita lebih AS$1 bilion aset yang didakwa diperolehi melalui dana 1MDB.

Ia sebahagian daripada dana AS$3.5 bilion yang disalahgunakan dan aset lain yang terlibat termasuk rumah agam dan mewah, karya seni, jet peribadi dan kutipan filem 'The Wolf of Wall Street'.

Dalam saman DOJ yang difailkan, AS$731 juta dana 1MDB didakwa mengalir ke akaun bank rasmi 'Malaysian Official 1'.

DOJ menyifatkan tokoh itu sebagai "pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia yang juga mempunyai kedudukan berkuasa dalam 1MDB"

Akauntabiliti, rasionalisasi dan ketelusan

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata proses menangani perkara tersebut mestilah mengikut lunas-lunas dan bersandarkan tiga perkara pokok iaitu akauntabiliti, rasionalisasi dan ketelusan.

“Mengenai DOJ ini ia ada kait rapat dengan perkara pokok iaitu akauntabiliti yang sekarang ini pun sedang berjalan di mana PDRM telah maklum baru-baru ini bahawa siasatan mereka mengenai syor PAC, 20 orang telah disiasat.

“Siasatan di peringkat antarabangsa seperti US, Switzerland atau Singapura ini semua akan bantu kita cari proses penyelesaian (isu 1MDB) dan sekiranya ada pihak nak politikkannya, orang boleh lihat sendiri apa sebenarnya tujuan dan matlamatnya,” katanya.

Menurut Hishammudin, sekiranya ada pihak yang mahu menuding jari kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak rakyat boleh membuat kesimpulan sendiri, sama ada pihak berkenan mahu mencari keadilan ataupun penyelasaian atau sekadar bermain politik.

Beliau berkata, Malaysia tidak akan menghalang sekiranya aset berkaitan berada dalam negara.

“Kita tak boleh halang sekiranya mereka nak buat siastaan. Bagi saya kalau dia nak siasat dan boleh bantu kita cari penyelesaian serta mereka yang telah dikenal pasti dibawa ke muka pengadilan nanti, PM sendiri akan tekan tiada siapa boleh letakkan diri mereka melebihi undang-undang.

“Ini termasuk undang-undang yang berkaitan sama ada di Switzerland, US atau Singapura. Jadi bagi saya jangan kita polemikkannya dan biar siasatan dijalankan dan saya harap akhirnya kita akan dapat satu kesudahan dan penyelesaian 1MDB ini yang adil kepada semua pihak,’ katanya.

Bagi Hishammuddin, desakan agar presiden Umno berundur dari tampuk pemerintahan juga adalah mainan politik pembangkang.

Ini kerana beliau percaya selepas ini pelbagai lagi helah yang akan dibangkitkan pihak lawan bagi agenda politik mereka.

“Itu memang kerja (desakan Najib berundur) dia dan apa jua isu-isu semasa akan diambil kesempatan untuk di politikkan.

“Kita tengok kesempatan yang diambil mereka apabila nak bawa persidangan tergempar di Parlimen dan percayalah lepas ini mungkin akan buat perhimpunan, kita dah biasa,” katanya.

Lihat Komen
ADS