Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abim peringat k'jaan titah Majlis Raja-Raja cepatkan siasatan 1MDB
Diterbitkan:  Jul 23, 2016 4:08 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengingatkan kerajaan untuk mempercepatkan siasatan dan pendakwaan membabitkan skandal 1MDB dengan merujuk titah Majlis Raja-Raja Melayu.

Presiden Abim, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, saman sivil oleh Jabatan Keadilan Amerika  (DOJ) mengenai dakwaan penyalahgunaan dana syarikat pelaburan negara 1MDB, merupakan satu peringatan yang tepat pada waktu untuk merujuk kepada titah diraja itu.

"Pengumuman tersebut merupakan satu lagi episod hitam yang menarik perhatian masyarakat dunia ke atas Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan perkembangan itu katanya, kerajaan perlu mematuhi dan merujuk kepada kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu yang dikeluarkan Oktober lalu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad menyebut: "Raja-raja Melayu maklum bahawa Kerajaan pada ketika ini sedang melakukan siasatan. Baginda sekalian menegaskan perlunya pihak Kerajaan menyelesaikan dengan secepat mungkin penyiasatan yang sedang berjalan.

"Jika terbukti terdapat sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang, maka Kerajaan hendaklah mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.

"Semua pihak adalah bertanggungjawab untuk memberikan kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha dan maksud siasatan tersebut mencapai kejayaan," kata kenyataan itu.

Rabu lalu, DOJ memfailkan saman sivil untuk merampas aset di Amerika Syarikat yang didakwanya telah dibeli menggunakan dana yang disalahgunakan dari 1MDB.

Beberapa nama muncul dalam laporan pihak berkuasa AS berkenaan, termasuk anak tiri Najib, Riza Aziz dan hartawan kelahiran Malaysia, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan panggilan Jho Low.

Mohamad Raimi berkata, pihaknya mendesak butiran laporan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB dapat didedahkan kepada rakyat yang menjadi mangsa skandal 1MDB.

"Abim menggesa SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) membuka semula fail siasatan sehingga membawa kepada pendakwaan pihak yang terlibat tanpa dibayangi campur tangan politik.

"Gesaan ini dibuat dengan merujuk kepada pendedahan yang diketengahkan PAC (Jawankuasa Kira-Kira Wang Negara) pada April lalu dan bukti-bukti terkini yang didedahkan oleh DOJ Amerika Syarikat," katanya.

Mewakli suara rakyat Malaysia, Abim turut melahirkan kekecewaan terhadap apa yang didakwanya kelembapan dan sikap 'acuh tak acuh' yang tergambar sepanjang proses siasatan dan pendakwaan membabitkan semua individu yang bertanggungjawab terhadap skandal tersebut.

Lihat Komen
ADS