Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
3 nyaris maut ditembak dalam cubaan samun
Diterbitkan:  Jul 27, 2016 6:00 AM
Dikemaskini: 10:10 PM

Tiga lelaki nyaris maut apabila kenderaan Toyota Fortuner yang dinaiki mereka ditembak kumpulan lelaki tidak dikenali dalam kejadian cubaan samun di susur Lebuh Raya Elite menghala ke Putrajaya dekat Shah Alam pagi semalam.
   
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Zailan Tasir berkata kejadian pada kira-kira 9.30 pagi itu berlaku selepas ketiga-tiga mangsa berumur lingkungan 51 dan 58 tahun itu, menghantar seorang lagi rakan mereka bersama sejumlah wang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), Sepang.
   
"Setelah menghantar seorang rakan di KLIA 2, bersama wang syarikat milik majikan mangsa (jumlah tidak pasti), mereka bergerak menuju ke Kuala Lumpur melalui Tol KLIA dan masuk ke lebuh raya Elite.
   
"Apabila sampai ke susur masuk tol Putrajaya, mangsa ditahan oleh dua motosikal Yamaha 125Z, sebuah toyota Camry putih dan sebuah kereta Wira Aeroback kelabu," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata kereta Wira itu dilaporkan diletakkan di tepi jalan dan terdapat dua lelaki berdiri di sebelah kereta tersebut dengan kon seolah-olah memberi gambaran kenderaan berkenaan rosak.

Katanya, siasatan awal menunjukkan Wira tersebut diletakkan di tepi jalan bagi menghalang kenderaan mangsa sebelum kereta Toyota Camry yang dinaiki seorang suspek kemudian bertindak memotong kenderaan tersebut dari arah belakang.
   
"Mangsa melihat seorang lelaki keluar dari kereta Camry dengan memakai topeng dan melepaskan tembakan.
  
"Dua buah motosikal yang dinaiki empat lelaki turut menghimpit kenderaan mangsa di bahagian kiri dan kanan sebelum turut melepaskan tembakan," katanya.

Zailan berkata susulan kejadian itu, pemandu Toyota Fortuner tersebut bertindak mengundurkan kenderaan sebelum memasuki semula lebuh raya Elite bagi menyelamatkan diri mereka.
   
Katanya, kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan berikutan kenderaan yang dinaiki mereka kalis peluru.

"Siasatan menunjukkan kesemua mangsa tidak mengenali suspek dan polis sedang berusaha menjejaki suspek berkenaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," tambahnya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS