Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TPM: Banduan IS pengaruhi 7 warden penjara
Diterbitkan:  Jul 28, 2016 3:36 PM
Dikemaskini: 11:50 AM

Kawalan keselamatan negara berada di tahap optimum, namun langkah-langkah kesiapsiagaan menghadapi apa jua insiden perlu ditingkatkan bukan sahaja dalam kalangan anggota keselamatan tetapi juga masyarakat keseluruhannya, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sambil merujuk kepada kejadian tembakan membabitkan anggota kongsi gelap di ibu negara semalam, timbalan perdana menteri berkata masyarakat juga perlu memberikan maklum balas mereka mengenai perkara itu.

"...timbul persoalan kenapa perkara ini (kongsi gelap) berlaku. Dengan tidak berhajat terjerumus dalam "sindrom penafian", saya ingin nyatakan di sini bahawa polis yang berada di semua lokasi penting sentiasa berada dalam keadaan
berjaga-jaga," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis ramah tamah Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN) Sarawak 2016 di Kompleks Islam Sarawak di Kuching hari ini.

Katanya pada 16 Ogos ini satu skim baru di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru (NBOS) akan dilancar dengan lima juta rakyat telah berdaftar dengan satu aplikasi yang akan membolehkan mereka melapor secara tepat masa sebarang kejadian jenayah ke "command centre" Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk tindakan segera.

Katanya walaupun kadar jenayah pada dasarnya turun 30 peratus sepanjang tahun lepas berbanding tahun sebelumnya, namun beliau melihat persepsi rakyat mengenai kebolehpercayaan terhadap polis dalam membanteras jenayah tidak berubah.

Ahmad Zahid berkata pada pandangannya Ops Cantas yang dilaksanakan polis sejak awal tahun ini perlu diberi nafas baru dan dilancarkan Ops Cantas 2.0.

Ops Cantas ialah antara langkah proaktif PDRM dalam memberi tumpuan kepada usaha pencegahan jenayah di seluruh negara khususnya selepas berlaku sejumlah kes tembak di Malaysia sejak akhir-akhir ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi catatan di laman Twitter rasmi beliau hujung bulan lepas mengesahkan bahawa 646 individu ditahan dalam Ops Cantas di seluruh negara antara Januari dan Jun lepas.

Sementara itu ditanya sekiranya undang-undang semasa tidak mencukupi untuk menangani kegiatan kongsi gelap, Ahmad Zahid berkata ia bukan soal undang-undang semata-mata tetapi turut merangkumi banyak aspek yang memerlukan pembabitan banyak pihak.

Beliau berkata KDN juga telah mencadangkan kepada kerajaan supaya membaiki pagar sempadan di utara semenanjung yang menurutnya sepanjang 7,900km dan dibangunkan sejak tahun 90-an lagi.

Ahmad Zahid berkata KDN faham dengan kekangan yang dihadapi dalam meningkatkan lagi tahap keselamatan, contohnya dalam membaiki pagar di sempadan negara, namun menurutnya soal keselamatan negara tidak seharusnya dikompromi.

Katanya beliau menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di ibu negara semalam yang berkata kerajaan tidak akan meminta maaf kerana lebih mendahulukan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Sementara itu merujuk kepada tahanan dalam negara yang terbabit dalam keganasan, beliau berkata mereka yang dikategorikan sebagai banduan "jenayah ideologi", diasingkan daripada penjenayah lain untuk membolehkan mereka menjalani proses 'deradikalisasi', di samping membendung ideologi mereka daripada mempengaruhi banduan lain.

Beliau seterusnya mengakui bahawa sehingga kini terdapat tujuh warden di sebuah penjara dalam negara telah terpengaruh dengan ideologi banduan "jenayah ideologi" ini sehingga mereka sendiri perlu menjalani 'proses deradikalisasi'.

Menurutnya proses deradikalisasi membabitkan modul program yang dijayakan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti pakar psikologi, ulama dan pakar motivasi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS