Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Segerakan pemilihan DAP, bukan pilihan raya
Diterbitkan:  Jul 29, 2016 4:04 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

PAS menggesa DAP menyegerakan pemilihan parti itu terlebih dahulu sebelum mengadakan pilihan raya negeri Pulau Pinang.

Ketua Penerangan PAS pusat Nasrudin Hassan berkata sekiranya DAP mahu mengukur sokongan terhadap ketua menteri Lim Guan Eng, parti itu tidak seharusnya menangguhkan pemilihan partinya.

"Sekiranya benar DAP mahu mengukur tahap keyakinan terhadapnya, tindakan yang lebih berobjektif yang patut dilaksanakan ialah menyegerakan pemilihan parti; bukannya menangguhkan lagi proses itu.

"Keyakinan ahli-ahli parti terhadap parti sendiri adalah lebih utama untuk diukur dahulu," kata Nasrudin dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya lagi, pilihan raya Pulau Pinang boleh diadakan selepas perbicaran terhadap tuduhan rasuah Lim selesai dan rakyat akan membuat pilihan berdasarkan keputusan mahkamah.

"Sekiranya Lim didapati tidak bersalah, DAP pasti mendapat sokongan yang lebih padu daripada rakyat Pulau Pinang.

"Sekiranya Lim disahkan bersalah pula, rakyat Pulau Pinang terselamat daripada terus memberikan mandat pemerintahan kepada pemimpin dan parti yang tidak cekap, tidak berakauntabiliti dan tidak telus," tegasnya.

Bagaimanapun katanya, PAS sedia bertanding sekiranya pilihan raya negeri diadakan pada bila-bila masa.

DAP sebelum ini menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti itu atas alasan mahu memberi tumpuan kepada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Majlis eksekutif pusat parti (CEC) dijadual mengadakan pemilihan semula pada 29 September, tetapi perlembagaan parti membolehkan ia ditangguhkan sehingga 18 bulan bagi memberi laluan kepada PRU.

Lim ketika ini berdepan asakan untuk berundur daripada pengkritiknya selepas didakwa atas dua pertuduhan rasuah melibatkan pembelian sebuah banglo di Pulau Pinang.

 

Lihat Komen
ADS