Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Karikatur 3 ADUN: PKR mahu Nanyang minta maaf
Diterbitkan:  Jul 29, 2016 7:20 PM
Dikemaskini: 11:28 AM

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Permatang Pauh menggesa akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau menarik balik karikatur yang membabitkan tiga ahli dewan undangan negeri (ADUN) PKR bagi kerusi Penanti, Seberang Jaya dan Bukit Tengah.

Dalam karikatur yang disiarkan beberapa hari yang lalu, akhbar berkenaan seolah-olah menggambarkan ketiga-tiga ADUN berkenaan sebagai berpotensi untuk tewas jika pilihan raya mengejut negeri tersebut diadakan, kata Ketua AMK Permatang Pauh, Mohd Sharmizan Mohammad Nor.

"Karikatur itu nyatakan tiga DUN berisiko tinggi untuk kalah disebabkan perkhidmatan pada rakyat dikatakan kurang memuaskan dan gagal melaksanakan tugas dengan baik.

"AMK Permatang Pauh percaya tuduhan dalam karikatur ini berunsur fitnah kerana dapatan fakta yang dilaporkan bersifat 'hearsay' atau khabar angin.

"Seharusnya fakta seperti kajian bebas yang dilakukan oleh Merdeka Centre atau badan –badan bebas lain perlu dikemukakan bagi menyokong fakta di dalam karikatur tersebut," ujar beliau dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, Pakatan Harapan berisiko hilang kerusi jika pilihan raya mengejut diadakan di Pulau Pinang.

“Kita semua berdepan risiko itu.

“Dengan kemungkinan tiga penjuru, secara teorinya, tiada siapa yang akan menang kecuali Umno,” kata Nurul Izzah.

Mengulas lanjut, Mohd Sharmizan menambah, pihaknya yakin dengan prestasi perkhidmatan pada rakyat terutama oleh dua ADUN PKR iaitu Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Norlela Ariffin (Penanti).

"Pelbagai agenda pembangunan infrastruktur kawasan dan khidmat masyarakat pada warga Permatang Pauh dilakukan oleh mereka sejak bermula penggal khidmat pada tahun 2013 sehingga lah pada hari ini.

"Kemakmuran yang kini dinikmati di kawasan Permatang Pauh amat dirasai oleh warganya sebagai contoh projek tebatan banjir di DUN Penanti diluluskan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Selain itu, Dewan SP Arena yang serba indah dan moden juga telah siap dibina di Seberang Jaya oleh kerajaan negeri dan perancangan seterusnya adalah pembinaan semula Pasar Awam Tenggiri yang akan memberi keselesaan kepada peniaga dan pengguna," ujar beliau lagi.

Justeru, kata Mohd Sharmizan, pihaknya menggesa Nanyang Siang Pau menarik balik kartun berunsur fitnah itu dan memohon maaf kepada ketiga-tiga ADUN PKR berkenaan.

Lihat Komen
ADS