Paling Popular
Terkini
story images
story images

Bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal menggesa supaya rakyat Sabah berani untuk mengubah kepimpinan kerajaan negeri yang sedia ada.

Tanpa memperincikan tentang perkara itu, Shafie berkata, perubahan di negeri Sabah tidak mustahil berlaku sekiranya rakyat di negeri itu bersatu.

"Tak ada yang mustahil dalam politik kalau rakyat bersatu. Yang tentukan kerajaan di Sabah ialah rakyat Sabah.

"Negeri kaya tapi rakyat miskin, kita ada tanaman kelapa sawit antara terbesar di Malaysia, pelancongan yang bagus. Tapi negara kaya, rakyat miskin, pemimpin jutawan.

"Tak mustahil kita akan tumbangkan BN di Sabah," kata Shafie semasa berucap merasmikan majlis Irau Rakyat di Tenom, Sabah, semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Wilfred Bumburing serta Naib Presiden PKR dari Sabah yang juga Anggota Parlimen Penampang, Darell Leiking.

Sebelum berucap, Shafie terlebih dahulu melaungkan slogan 'Sabah Ubah' sambil disambut oleh ribuan hadirin yang hadir pada majlis berkenaan.

Malah, terdapat juga poster yang dibawa oleh orang ramai yang bertulis 'Ubah Sabah demi masa depan rakyat Sabah' dan 'Untuk Sabah kita bangun, demi rakyat kita lawan'.

Selain itu, bekas menteri kabinet itu juga menyangkal dakwaan bahawa sekiranya BN tidak lagi menjadi pemerintah, sesebuah negeri itu akan 'mati'.

Malah, beliau juga mempertahankan dirinya daripada dakwaan yang mengatakan dirinya tidak mempunyai sokongan di Sabah dengan memberitahu bahawa beliau telah mempunyai pengalaman 30 tahun dalam politik dan ia melayakkannya untuk mentadbir sebuah negeri.

"Ingat kita mati ke kalau tak ada Umno? Di Kelantan Umno tak ada (tak memerintah) nak dekat 20 tahun, orang Kelantan masih hidup. Di Selangor, hampir 10 tahun kerajaan Pakatan memerintah, tak pernah saya dengar orang Melayu, Cina mati.

"Mana ada yang mati. Yang mati mungkin yang mahu kaya, mereka mati akal.

"Walaupun saya anak orang kampung, saya sudah 30 tahun berkhidmat di Kuala Lumpur, dan saya tadbir kementerian. Masakan saya bodoh tak boleh tadbir negeri Sabah. Saya tadbir satu kementerian dengan peruntukkan RM15 bilion setiap tahun.

"Ini Sabah (peruntukkan) baru RM3 bilion, takkan saya tak boleh tadbir. Jangan kata saya tidak layak untuk tadbir negeri ini," kata bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu dengan lantang.

Dalam sidang media selepas majlis tersebut, ketika diminta untuk mengulas mengenai gesaan supaya rakyat Sabah 'ubah', Shafie enggan mengulas lanjut dan memberitahu bahawa perkara itu akan diberitahu bila sampai waktunya.

"Bila sampai waktu saya akan jelas terpeinci perubahan apa kita akan lakukan di Sabah," katanya ringkas.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan parti politik yang ingin ditubuhkannya, Shafie hanya meminta supaya pemberita menunggu sedikit masa lagi.

Malah, beliau memberitahu, hasratnya untuk menubuhkan parti di Sabah itu juga sudah diketahui oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Tunggu sedikit masa lagi.

"Mereka (Mahathir dan Muhyiddin) tahu saya akan tubuh parti di peringkat negeri Sabah. Walaupun dipelawa jadi timbalan presiden (untuk parti baru mereka) tetapi saya jelaskan apa rasionalnya, saya bukan tolak. Yang penting ialah untuk ubah negeri Sabah," katanya.

Pada Julai lalu, Shafie mengumumkan keluar dari Umno selepas beliau digantung keahlian daripada parti itu.

Ia ekoran tindakannya yang dilihat bersama Mahathir, Muhyiddin serta bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang lantang bersuara mengenai isu skandal 1MDB.

Lihat Komen
ADS