Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Dana SRC biayai hormon anti penuaan, ubahsuai rumah B1'
Diterbitkan:  Aug 3, 2016 11:16 AM
Dikemaskini: 5:51 AM

Laman web pendedah maklumat Sarawak Report mendakwa dana yang dipesongkan daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International digunakan untuk membayar produk kecantikan dan pengubahsuaian rumah.

Dalam satu kenyataan, Sarawak Report berkata pihaknya memiliki dokumen bocor berhubung siasatan pihak berkuasa negara ini ke atas 1MDB yang membuktikan dakwaan itu.

Ia mendakwa bahawa perbelanjaan yang berlaku pada bulan Februari 2015 itu, termasuk bayaran RM1.15 juta untuk apa yang dipercayai sebagai hormon anti-penuaan oleh individu berpangkat tinggi yang dikenal pasti dalam dokumen berkenaan sebagai "B1" dan isterinya.

Produk anti-penuaan itu didakwa dibeli pada harga AS$159,000 setiap satu.

"Sarawak Report tidak berjaya mengesan di pasaran terbuka mana-mana produk seumpama itu yang bernilai AS$159,000 setiap - namun pada kadar pertukaran kontemporari tanda harga yang dihuraikan itu nampaknya sepadan dengan angka RM1,154,000 dalam cek," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Sarawak Report juga mendakwa bahawa dana SRC turut digunakan untuk kerja-kerja permbinaan, termasuk RM100,000 yang digunakan untuk membina pondok pengawal dan kemudahan lain di kediaman B1 di Kuala Lumpur.

Malaysiakini tidak boleh secara bebas mengesahkan dakwaan yang dibuat oleh Sarawak Report, dan sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada SPRM.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengakui sejumlah RM42 juta wang SRC berada di akaun bank peribadinya.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali bagaimanapun membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku dengan berkata Najib tidak mempunyai sebarang pengetahuan dan tidak pula dimaklumkan, bahawa dana SRC dipindahkan kepadanya.

Menurut pendedahan, sebelumnya oleh akhbar The Wall Street Journal dan Sarawak Report, RM50 juta juga dipindahkan dari SRC kepada anak syarikatnya, Gandingan Mentari, yang seterusnya menyalur jumlah berkenaan ke sebuah lagi anak syarikat lain, Ihsan Perdana.

Daripada jumlah itu, RM42 juta dimasukan ke dalam akaun Najib.

Najib berulang kali menafikan menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi, dan menuduh seterunya cuba berkonspirasi untuk menjatuhkannya.

 

Lihat Komen
ADS