Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Noh ingatkan k'jaan S'gor tidak ungkit kos RM8j baiki PPR
Diterbitkan:  Aug 4, 2016 7:28 PM
Dikemaskini: 11:35 AM

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar mengingatkan kerajaan negeri Selangor supaya tidak mengungkit kos RM8 juta yang dibelanjakan bagi membaik pulih projek perumahan rakyat (PPR) di negeri itu.

Beliau berkata jumlah itu terlalu sedikit berbanding kos RM20 juta yang dikeluarkan Kerajaan Persekutuan untuk membaiki kerosakan pada PPR Lembah Subang 1 pada 2009.

"Kerajaan negeri baru belanja RM8 juta untuk penyelenggaraan PPR di Selangor dah bermegah sedangkan kerajaan Persekutuan peruntuk RM100 juta untuk bina PPR Lembah Subang 1 sebelum serahkan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan pada 2001.

"Pada 2009 pula, kita keluar lagi belanja RM20 juta untuk baiki PPR itu tanpa dapat sebarang keuntungan. Mereka (kerajaan negeri) ibarat seperti ayam bertelur sebiji riuh sekampung," katanya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan kali ke-36, Pertubuhan Peladang Kawasan Tanjong Karang hari ini.

Noh berkata demikian ketika mengulas kenyataan Exco Perumahan, Pengurusan Bandar dan Kehidupan Bandar Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad semalam yang meminta kerajaan Persekutuan mengembalikan kos RM8 juta yang telah dikeluarkan kerajaan negeri untuk membaiki beberapa PPR di negeri itu, sekiranya berhasrat mengambil alih pengurusan PPR di Selangor.

KPKT sebelum ini memaklumkan akan menghantar surat rasmi kepada kerajaan negeri Selangor bagi memohon mengambil alih pengurusan dan penyelenggaraan bangunan PPR di negeri ini.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada transformasi serta pendekatan baharu kementerian dalam pengurusan PPR selepas melihat kegagalan kerajaan negeri dalam menguruskan PPR di Lembah Subang 1.

Noh dalam pada itu membidas dakwaan Iskandar bahawa Pakatan Rakyat mewarisi PPR yang sarat dengan pelbagai masalah selepas mengambil alih pentadbiran negeri Selangor daripada Barisan Nasional (BN) pada 2008.

"Mereka masih nak salahkan BN sedangkan mereka telah mentadbir Selangor selama lapan tahun bukan beberapa bulan. Rakyat Selangor kena sedar apa yang kerajaan negeri telah lakukan sepanjang lapan tahun ini? Kerajaan mana yang lebih baik dalam memberikan khidmat kepada rakyat," katanya.

Noh turut menafikan dakwaan Iskandar bahawa kerajaan Persekutuan memungkiri janji untuk memberi peruntukan RM1.8 juta bagi membaik pulih kerosakan pendawaian dan jeriji penghadang di PPR Kota Damansara sebelum ini.

Jelasnya, selepas beliau mengumumkan pemberian peruntukan itu pada tahun lepas, kerajaan negeri dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kemudian memaklumkan bahawa mereka akan memberi peruntukan khas untuk membaik pulih PPR Kota Damansara.

"Memandangkan kerajaan negeri dah umumkan nak beri peruntukan khas, kita tangguh peruntukan itu, tetapi dalam pada itu kerajaan Persekutuan turut membelanjakan RM800,000 untuk pembangunan di kawasan PPR berkenaan. Bukan kita tidak tunai janji... soalnya kenapa mereka (kerajaan negeri) tidak umum (peruntukan) lebih awal," katanya.

Sementara itu, Noh yang juga anggota Parlimen Tanjong Karang mempersoalkan kenyataan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam bahawa kerajaan negeri tidak mahu mana-mana individu atau syarikat memonopoli urusan sampah di Selangor.

Sebaliknya, kata beliau, pada masa sama kerajaan negeri memberi tanggungjawab untuk menguruskan masalah sampah di Selangor hanya kepada sebuah syarikat selain Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang secara tidak langsung akan mewujudkan unsur monopoli.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS