Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penasihat Suaram: Penyokong parti Mahathir hilang akal?
Diterbitkan:  Aug 5, 2016 2:01 PM
Dikemaskini: 6:27 AM

Penasihat kumpulan hak asasi manusia Suaram, Kua Kia Soong hari ini membidas pemimpin pembangkang dan masyarakat sivil yang menyokong parti politik baru yang dinaungi Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, beliau benar-benar terkejut bahawa pemimpin Pakatan Harapan serta beberapa masyarakat sivil menyambut parti baru ini dengan tangan terbuka sedangkan ia bukannya sivil.

"Bolehkah mana-mana pemimpin masyarakat sivil atau pemimpin politik yang mendukung agenda reformasi progresif menerima sebuah parti politik yang hanya terbuka kepada bumiputera?

"Adakah mereka mula kehilangan akal semata-mata kerana Mahathir lantang mahu menyingkirkan Najib?

"Lebih baik mereka sedar cepat atau berdepan kemungkinan kehilangan kredibiliti...,” katanya dalam satu kenyataan media.

Kua menegaskan bahawa rasisme dan diskriminasi kaum telah menjadi sebahagian daripada realiti politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan Malaysia sejak zaman penjajahan.

Pada masa ini, beliau berkata, soal institusi bangsa begitu kuat dan menjadi faktor utama menentukan manfaat daripada dasar pembangunan kerajaan, tawaran bagi kontrak perniagaan, dasar pendidikan, dasar sosial, dasar kebudayaan, kemasukan ke institusi pendidikan, diskaun untuk membeli rumah dan dasar rasmi yang lain.

"Institusi rasisme adalah sebahagian penting dalam sistem sosio-politik Malaysia. Parti pemerintah masih didominasi oleh parti komponen berasaskan kaum yang jelas - Umno, MCA dan MIC.

"Pihak-pihak ini bersaing untuk sokongan pengundi dari kawasan kaum masing-masing dengan menjaga kepentingan kaum. Selalunya, kecenderungan perkauman mereka terdedah pada kongres parti masing-masing," katanya.

Penasihat Suaram itu yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa Ops Lalang ketika pemerintahan Mahathir , berkata tidak ada keraguan bahawa bekas perdana menteri itu masih terperangkap dengan ideologi perkauman.

Menurut Kua, kewujudan parti-parti politik berasaskan perkauman sudah ketinggalan zaman.

"Di mana dalam dunia hari ini seseorang boleh menjumpai parti politik yang terhad kepada hanya satu kaum?" soalnya, sambil menambah bahawa masanya telah tiba untuk penyelesaian bukan perkauman bagi menghadapi cabaran Malaysia.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS