Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada apa-apa akan berlaku Isnin ini, kata MB T'ganu

Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman memberi jaminan tiada sebarang 'kejadian tidak diingini' akan berlaku pada Isnin ini- menjelang hari pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kemelut yang melanda Terengganu ketika ini berhubung desas-desas undi tidak percaya terhadap menteri besar serta kemungkinan berlakunya pilihan raya negeri.

"Tak ada. Tak ada (apa-apa akan berlaku pada Isnin depan). Insha Allah saya rasa tak ada apa-apa yang perlu ditimbulkan lagi kerana saya yakin dan percaya tak ada apa-apa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Anak Terengganu di Perantauan di Putrajaya hari ini.

Malah, beliau juga memberitahu bahawa keadaan di Terengganu kini stabil dan tiada perkara 'luar biasa' akan berlaku.

"Keadaan di Terenganu begitu stabil dan insha Allah bahawa Dewan (DUN) tidak akan ada perkara luar biasa dan sebahagian besar bagi kita ialah kita perlu pandang ke hadapan kerana yang penting ialah kita jayakan pembangunan negeri Terengganu," katanya.

Pertelingkahan adik beradik

ADUN Seberang Takir itu berkata, kemelut di Terengganu cuma 'pertelingkahan adik beradik' yang akan menguatkan lagi solidariti serta hubungan sesama anggota parti.

"Seperti saya sebut sebelum ini, gelombang di Terengganu seperti ribut dalam cawan. Ini berlaku di mana-mana. Saya rasa jangan bimbang.

"Sedangkan suami isteri ada berlaku sedikit ketegangan, apatah lagi adik-beradik. Ini adalah masalah pertelingkahan antara adik-beradik sahaja.

"Saya ingat pertelingkahan adik-beradik tak ada apa-apa malah ia akan menguatkan lagi solidariti," katanya lagi.

Sebelum ini, Datuk Seri Ahmad Said yang merupakan bekas menteri besar Terengganu dilaporkan mengancam untuk keluar daripada Umno dan akan bekerjasama dengan PAS.

Manakala ADUN Ajil, Ghazali Taib pula mengkritik pentadbiran Ahmad Razif tetapi memberitahu bahawa beliau tidak akan meninggalkan Umno.

Ketika ini- dengan Ahmad Said dan Ghazali masih di dalam Umno, parti Melayu itu mempunyai 17 kerusi di Dewan Undangan Negeri manakala PAS 14 dan PKR 1.

Pada sidang DUN Mac lalu, Ahmad Said membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif.

Bagaimanapun, Speaker Datuk Mohd Zubir Embong menolak usul Ahmad Said kerana didakwa tidak memberi notis sekurang-kurangnya 14 hari sebelum usul berkenaan.

Lihat Komen
ADS