Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS tak terliur dengan dana RM90 juta
Diterbitkan:  Aug 10, 2016 1:17 PM
Dikemaskini: 5:22 AM

Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Rosli Abdul Jabbar berkata, PAS tidak terliur pun dengan dana berjumlah RM90 juta seperti yang didakwa oleh laman web Sarawak Report, baru-baru ini.

Laman web kontroversi itu mendakwa PAS menerima dana sebanyak RM90 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan parti itu akan mengambil tindakan undang-undang ke atas laporan tersebut.

Beliau yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) Tanjung Lumpur berkata, PAS tidak menginginkan dana tersebut sebagaimana parti itu tidak terliur dengan Putrajaya yang tidak melaksanakan Islam.

"Tidak ada orang berjuang dalam PAS kerana nak duit, kalau ada pun tak lama akan duduk dalam PAS, lambat laun akan lari juga tinggalkan PAS sebab yang ditunggu tak kunjung tiba.

"Dalam PAS ada orang kaya dan ada orang miskin, orang yang kaya biasanya masuk PAS setelah dia kaya, bukan dia kaya kerana dapat keuntungan daripada PAS, malahan harta kekayaannya dihabiskan untuk perjuangan PAS," katanya dalam kenyataan yang disiarkan oleh Harakahdaily.

Pada Isnin yang lalu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Sarawak Report kerana berita itu palsu dan berniat jahat, selain agenda untuk terus mengaitkannya dengan Umno.

"Tidak pasti apa matlamat fitnah laporan Sarawak Report ini selain hendak menggaitkan PAS dengan Umno.

"Apapun, PAS akan mengambil tindakan undang-undang ke atas laporan tersebut yang mempunyai niat jahat dan mencemar nama baik parti dan dasar Islam yang menjadi teras kepada perjuangan PAS," katanya.

Sabtu lalu, Sarawak Report menerbitkan artikel yang mendakwa Najib merayu PAS agar menjauhi gabungan pembangkang dengan sebanyak RM90 juta dialirkan kepada pemimpin tertinggi parti itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Sarawak Report yang berpengkalan di London dikendalikan oleh Claire Rewcasatle-Brown, yang didakwa Najib adalah sebahagian daripada konspirator untuk menggulingkan beliau daripada kuasa.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, apalah dana sebanyak RM90 juta jika dibandingkan dengan pengorbanan ahli-ahli PAS selama ini kerana hati anggotanya tidak diresapi hasutan syaitan supaya menjual perjuangannya.

"PAS sudah membayar dengan harga yang tidak ternilai, demi membeli tawaran daripada Allah, bukan sahaja duit malahan nyawa demi perjuangan Islamnya dan kerana menuntut redhaNya.

"Apalah sangat RM90 juta dan Putrajaya jika dibandingkan dengan redha Allah," ujarnya lagi.

Lihat Komen
ADS