Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan bagi alasanlah, kata DAP kepada Petronas
Diterbitkan:  Aug 10, 2016 6:05 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen meminta Petronas untuk berhenti menjaja alasan untuk mempertahankan dasar pengambilan pekerja syarikat itu yang disifatkan tidak adil.

Beliau berkata, sebaliknya, firma petroleum negara itu perlu mengambil langkah-langkah segera untuk membetulkan komposisi pekerja mengikut negeri yang berat sebelah dalam operasinya di Sarawak.

"Mengikut kenyataan Petronas, kunci kejayaan penghantaran dan operasi projek Petronas ialah sokongan dan komitmen semua pihak dengan apa yang paling penting ialah pasukan pekerjanya terdiri daripada mereka yang berkelayakan, terlatih dan berdedikasi - tidak kira di mana mereka berasal.

"Apakah Petronas katakan Sarawak tidak mempunyai kakitangan berkelayakan, pekerja terlatih dan berdedikasi untuk mengisi jawatan-jawatan peringkat eksekutif atasan dan pertengahan dalam operasinya di Sarawak?

"Ini sudah tentu tidak benar dan satu penghinaan kepada rakyat Sarawak," kata Chong dalam kenyataan.

Dalam kenyataannya hari ini, Petronas berkata, pihaknya percaya keputusan menggantung permit kerja kakitangan Petronas oleh kerajaan negeri Sarawak dibuat atas salah faham dalam proses penstrukturan semula perniagaannya.

Menurut Jabatan Perhubungan Media, Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, pihaknya menjangkakan majoriti pengambilan kakitangan baru di negeri tersebut masih dikuasai oleh rakyat Sarawak.

"Pengambilan kakitangan yang diperlukan untuk memenuhi permintaan tenaga kerja baru masih dikuasai oleh rakyat Sarawak, seperti amalan pengambilan sedia ada.

"Ada beberapa jawatan yang akan diisi oleh pekerja berpengalaman yang mungkin melibatkan bukan rakyat Sarawak," jelasnya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Douglas Uggah mengumumkan bahawa Petronas tidak lagi boleh mengambil warga negara Malaysia dari luar Sarawak untuk mengisi pekerjaan di negeri itu selepas kerajaan negeri menghentikan pengeluaran permit kerja baru.

"Moratorium kerajaan negeri ini berkuatkuasa serta-merta bagi semua permohonan permit kerja baru untuk kakitangan Petronas dari luar Sarawak yang berhasrat bekerja di Sarawak," kata Douglas Uggah, memetik laporan akhbar The Borneo Post.

Mengulas lanjut, Chong berkata, Sarawak mempunyai bakat-bakat yang berkelayakan, terlatih dan berdedikasi, lebih dari mencukupi untuk mengisi jawatan peringkat pengurusan atasan dan pertengahan dalam operasi Petronas di negeri tersebut.

"Bagaimanapun, kami tidak diberi peluang dalam Petronas," kata Chong yang juga ahli parlimen Kuching.

Isu penawaran lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak telah dipersetujui antara Petronas dan Adenan sejak November 2014, tambah beliau.

Lihat Komen
ADS