Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siasatan 1MDB: Fasa 1 selesai, polis tunggu arahan lanjut

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya kini menunggu arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut berhubung siasatan 1MDB.

Khalid berkata fasa pertama siasatan telah selesai dan menjangkakan arahan daripada AG akan diterima dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

“Fasa (siasatan) pertama dah selesai, sekarang kita sedang membincangkannya dengan Jabatan Peguam Negara dan belum selesai bincang lagi. Kita juga sedang bincang untuk arahan lanjut.

“Saya jangka dalam satu atau dua minggu ini kerana kertas siasatan itu tebal, banyak benda yang nak kena go through. Jadi makan masa sikit,” kata Khalid dalam sidang media selepas majlis pemakaian pingat PDRM, di ibu pejabat polis daerah (IPD) Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Sementara itu Khalid berkata beliau tidak tahu mengenai penangkapan hartawan Khadem al-Qubaisi, individu penting dalam siasatan 1MDB yang dilapor ditahan pihak berkuasa Abu Dhabi.

“Itu saya tak tahu, kena tanya Arab Saudi,” kata Khalid ketika ditanya pemberita.

Beliau menegaskan pihaknya kini hanya akan memberi fokus kepada lima syor yang ditetapkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara(PAC) berhubung skandal 1MDB itu.

“Saya dah beritahu lima syor dari PAC itu adalah menjadi fokus kami jadi saya tidak mahu polis diheret di luar daripada apa yang diarahkan kepada kami kerana kalau tidak (fokus) siasatan ini akan merebanlah,” kata Khalid.

Akhir Julai lalu Khalid menggesa orang ramai tidak memberi tekanan kepada pihak polis supaya menyegerakan proses siasatan ke atas syarikat pelaburan negara itu.

Beliau juga berkata polis tidak mencampuri kes saman sivil yang dikemukakan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan 1MDB kerana ia adalah kes saman sivil.

DOJ sebelum ini memfailkan saman itu bagi merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion yang didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB oleh beberapa individu.

Ia sebahagian daripada dana AS$3.5 bilion yang disalahgunakan melibatkan pembelian aset seperti rumah agam dan mewah, karya seni, jet peribadi dan pembikinan filem 'The Wolf of Wall Street'.

Terbaru, hartawan Khadem al-Qubaisi dilapor ditangkap oleh pihak berkuasa Abu Dhabi, selepas DOJ merampas hartanah bernilai AS$ 100 juta miliknya yang didakwa dibeli menggunakan dana tersebut.

 

Lihat Komen
ADS