Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiga aktivis pelajar promosi himpunan #TangkapMO1 ditahan

Tiga aktivis pelajar yang cuba mempromosi perhimpunan #TangkapMO1 di kampus UiTM cawangan Seri Iskandar di Ipoh, Perak telah ditahan oleh polis.

Mereka ialah Muhammad Luqman Nul Hakim Zul Razali, Luqman Hakim dan Ashraff Nazrin.

Ketika dihubungi, aktivis pelajar Anis Syafiqah yang menghadirkan diri di lokasi tahanan memberitahu Malaysiakini, ketiga-tiganya ditahan selepas cuba memasuki kawasan kampus.

"Kami tiba di UiTM pada kira-kira jam 5 petang dan polis sudah bersiap sedia.

"Kami bertanya kepada mereka dengan baik untuk memasuki kampus bagi bertemu rakan-rakan kerana ingin menjelaskan tentang Malaysian Official 1 , tetapi mereka enggan membenarkan sehingga kami terpaksa bercakap di luar.

"Selepas kami selesai berucap lebih sejam kemudian, kami meminta untuk masuk lagi tetapi mereka masih menolak.

"Tiga daripada kawan-kawan saya kemudian cuba untuk memanjat pagar, polis tangkap dan gari mereka, " katanya.

Ujar Anis lagi, terdapat lebih daripada 10 pegawai polis dan polis bantuan selain kehadiran pentadbir universiti tersebut.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pihak yang ingkar dengan larangan mengadakan perhimpunan #TangkapMO1 pada 27 Ogos di Dataran Merdeka.

Khalid mengingatkan bahawa tiada kebenaran diberikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk penggunaan tempat itu.

“Tapi kalau dah tuan punya tempat tak bagi janganlah buat.

“(Perkara) ini macam rumah orang (kita) nak masuklah. Kalau orang tak bagi, tapi kita nak masuk juga, jadi akan ambil tindakan,” tegas Khalid kepada pemberita.

Khalid berkata penganjur perlu mencari tempat lain dan polis akan mempertimbangkan kelulusan walaupun tempoh notis mungkin tidak cukup.

“Walaupun tempoh masa itu dah suntuk, dia kena mohon 10 hari sebelum perhimpunan tetapi tempat yang diminta bersesuaian kita boleh pertimbangkan," tambah Khalid.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengecam penangkapan tiga pelajar berkenaan yang turut mewakili Persatuan Mahasiswa Islam UM dan Kesatuan Mahasiswa.

"Chang Lih Kang (ADUN Teja yang juga Setiausaha AMK Malaysia) dan Tan Kar Hing (ADUN Simpang Pulai dan Naib Ketua AMK Malaysia) dalam perjalanan ke Seri Iskandar untuk membantu.

"Saya sendiri kebetulan akan berada di Seri Iskandar esok dan sekiranya mereka masih belum dibebaskan, saya akan cuba untuk berjumpa dan berurusan dengan pegawai yang terlibat," kata Rafizi dalam kenyataannya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS