Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Panglima ATM diumum ketua pengarah MKN
Diterbitkan:  Aug 25, 2016 3:17 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Kerajaan memandang serius ancaman terhadap pertahanan dan keselamatan negara dengan mengambil langkah serius melantik Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin sebagai ketua pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang pertama.

Mengumumkan perkara itu di New York pada hari Rabu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa rakyat agar tidak memandang remeh ancaman itu yang datang dari dalam dan luar negara.

"Atas kepedulian kerajaan terhadap ancaman kepada pertahanan dan keselamatan negara ini maka kerajaan telah menetapkan bahawa tugas memimpin MKN diserah kepada pegawai polis atau tentera," katanya.

Beliau berkata demikian di majlis jamuan makan malam timbalan perdana menteri bersama pegawai dan kakitangan Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi-agensi kerajaan yang beroperasi di New York di pejabat perwakilan itu di New York.

Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata anggota MKN juga akan dilantik dari kalangan pegawai polis dan tentera yang berpengalaman dalam setiap sudut pertahanan dan keselamatan negara.

Lazimnya, MKN diketuai oleh seorang setiausaha yang terdiri daripada pegawai sivil dan Zulkifeli menjadi pegawai tentera pertama yang dilantik ke jawatan itu.

Difahamkan pelantikan Zulkifeli berkuat kuasa 15 Ogos lepas.

Ahmad Zahid berkata tindakan itu bertujuan memperkukuh MKN agar menyerupai National Security Council (NSC) (Majlis Keselamatan Negara) di Amerika Syarikat.

Katanya dasar pertahanan dan keselamatan negara dipersiap dengan menggabungkan sinergi percantuman pelaksanaan tugas antara pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau seterusnya meminta rakyat supaya memandang positif perkara itu dan tidak meremehkan ancaman keselamatan dan pertahanan itu kepada negara.

Kata beliau dalam politik, rakyat boleh berbeza pendapat tetapi dalam aspek keselamatan dan pertahanan negara, kedua-dua pihak harus bersatu.

Beliau juga mengingatkan rakyat supaya jangan menganggap insiden keganasan seperti yang berlaku di luar negara itu tidak boleh berlaku di dalam negara.

"Soalnya bila dan di mana ia akan berlaku?" katanya.

Ahmad Zahid turut mendedahkan kewujudan kumpulan pengganas yang menggelar kumpulan mereka sebagai 'Khalifah Nusantara' yang kononnya hendak menegakkan empayar Islam di Nusantara dan anggotanya aktif di Singapura, Malaysia,
Indonesia dan Brunei.

Ahmad Zahid berkata kumpulan Khalifah Nusantara itu sedang bergerak aktif melakukan keganasan termasuk melakukan pengeboman di kelab malam Movida di Puchong pada 28 Jun lalu, yang dikatakan serangan pertama dilakukan Daesh di
Malaysia.

Beliau berkata rakyat perlu berwaspada mengenai kemungkinan bila serangan kedua akan berlaku dan tidak seharusnya menyerahkan tugas dan tanggungjawab mencegah kejadian seumpama itu daripada berlaku kepada PDRM dan tentera
semata-mata.

"Ada orang tertentu yang suka menyalahkan pasukan keselamatan dan pertahanan apabila berlaku sesuatu kejadian keganasan sedangkan di negara lain rakyatnya menyokong polis dan tentera," kata beliau.

Katanya tugas pertahanan dan keselamatan tidak seharusnya diletakkan kepada pasukan polis dan tentera semata-mata tetapi hendaklah mengambil pendekatan 'Hanruh' atau pertahanan menyeluruh yang melibatkan masyarakat dan orang ramai.

Katanya sehubungan itu, pada 16 Ogos lepas telah dilancarkan satu pasukan sukarelawan yang dinamakan 'Volunteer Smartphone Patrol' (VSP) yang membantu menyalurkan maklumat mengenai kejadian jenayah kepada satu pusat kawalan
(command centre) untuk mengambil tindakan lanjut.

Katanya tindakan itu dapat mengurangkan pergantungan kepada sistem pengawasan melalui kamera litar tertutup (CCTV) bagi mencegah jenayah di kawasan-kawasan 'hotspot'.

Ahmad Zahid berkata pendekatan itu memobilisasikan pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pasukan Pertahanan Awam, Kepolisan Masyarat dan Rakan Cop yang akan melibatkan lima juta peserta dengan penyertaan pertama seramai 5,000 orang.

Pasukan yang menjadi 'mata dan telinga' pasukan keselamatan itu akan menggunakan telefon bimbit untuk menyalurkan maklumat tepat masa kepada pusat kawalan.

Beliau menyeru orang ramai supaya mendaftar diri menyertai pasukan itu bagi membantu tugas polis dan tentera dan tidak sambil lewa terhadap isu keselamatan dan pertahanan.

Ahmad Zahid berada di negara ini untuk lawatan kerja lima hari bermula 22 hingga 26 Ogos termasuk mempengerusikan perbahasan terbuka peringkat tinggi Majlis Keselamatan PBB mengenai senjata pemusnah besar-besaran pada Selasa.

Turut hadir pada majlis jamuan itu ialah isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis dan Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Ramlan Ibrahim.

- Bernama

Lihat Komen
ADS