Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 warga asing ditahan guna IC palsu
Diterbitkan:  Aug 25, 2016 4:01 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Seorang pengawal keselamatan sekolah warga Filipina ditahan dalam Ops ID Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sebuah sekolah menengah harian di Kuala Lumpur awal hari ini kerana menggunakan kad pengenalan palsu.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Mohd Yazid Ramli berkata lelaki berumur 19 tahun itu sedang bertugas di pos pengawal sekolah berkenaan ketika operasi dilancarkan bermula 12.30 tengah malam setelah disyaki menggunakan kad pengenalan palsu serta mengaku berasal dari Sabah.

"Semasa sampai ke lokasi, pengawal keselamatan tersebut telah bertindak melarikan diri serta menyorok di belakang bangunan sekolah bagi mengelakkan pemeriksaan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JPN melakukan pemeriksaan di lokasi kedua selepas itu iaitu di sebuah premis kediaman di Kepong dan menahan seorang lelaki berumur 32 tahun kerana disyaki menggunakan kad pengenalan milik orang lain, katanya.

"Hasil pemeriksaan mengesahkan mereka telah menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri dan kedua-dua mereka mengaku berasal dari Mindanao, selatan Filipina," katanya.

Beliau berkata kedua-dua mereka melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS