Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemandu maut dihempap besi dipercayai jatuh dari kren
Diterbitkan:  Aug 26, 2016 5:53 AM
Dikemaskini: 10:03 PM

Seorang pemandu kereta wanita maut dihempap besi yang dipercayai terjatuh dari sebuah kren di tapak pembinaan
di Jalan Raja Chulan, di ibunegara malam tadi.

Dalam kejadian 7.20 malam itu, besi berkenaan dipercayai terjatuh dari kren di sebuah tapak pembinaan, bersebelahan pusat beli-belah Pavilion dan menimpa kereta Perodua Kelisa yang dipandu mangsa.

Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Mohd Samsol Maarof Saibani berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 7.21 malam dan tiba di lokasi 15 minit kemudian.

"Sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari balai bomba Pudu dan Hang Tuah dengan kekuatan 16 anggota bergegas ke lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata kerja-kerja mengalihkan besi yang menimpa kereta berkenaan sedang dilakukan.

Sementara itu Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata polis menyiasat insiden itu mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

Beliau berkata polis menerima maklumat berhubung insiden penyangkut kren yang terjatuh itu pada 7.18 malam.

"Saya mengesahkan kejadian itu berlaku melibatkan sebuah kereta Perodua Kelisa yang di dalamnya terdapat seorang wanita berusia 24 tahun meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Amar Singh berkata punca insiden itu masih disiasat.

Mangsa, Chim Khoo Sing, 24, berasal dari Pulau Pinang maut selepas dihempap serpihan besi kren seberat 1,000 kilogram yang jatuh dari tingkat 20 bangunan hotel yang sedang dalam pembinaan di Jalan Raja Chulan itu.

Ekoran itu, mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di tengkuk, dada dan rusuk kanan.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS