Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dakwaan seks luar tabii: Kazim buat laporan polis
Diterbitkan:  Aug 26, 2016 1:11 PM
Dikemaskini: 5:17 AM

Sebuah maahad tahfiz di Perak membuat laporan polis berhubung dakwaan berlaku amalan seks luar tabii di sekolah itu.

Laporan itu dibuat pengetuanya sendiri Datuk Kazim Elias pada Sabtu.

The Star Online melaporkan Kazim berkata aduan berkenaan tidak dibuat lebih awal kerana nama sekolah berkenaan tidak dinyatakan sebelum ini.

"Tetapi sekarang ia sudah diketahui, saya rasa kami perlu membersihkan nama kami," katanya kepada media hari ini.

Menurut Kazim tuduhan yang dikaitkan dengan sekolah agama yang dikelolakannya - Pusat Pendidikan Al-Barakah - adalah serius dan mereka akan bekerjasama dengan polis.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan polis menerima laporan mengenai dakwaan pencabulan seksual di sebuah maahad tahfiz di Perak yang dimiliki seorang penceramah bebas terkemuka.

Ketua Polis Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata setakat ini pihaknya telah mengambil keterangan daripada 10 individu termasuk pelajar, pengadu dan wakil pihak sekolah.

"Dalam hal ini kita kena berhati-hati dan teliti serta menjaga semua aspek," katanya.

Kazim adalah seorang daripada pencemarah popular di negara ini dan pernah mengisi slot khusus Kalau Dah Jodoh di Astro.

Beliau pernah diumum sebagai seorang daripada sembilan tokoh dilantik menganggotai Majlis Tertinggi Umno pada November 2013.

Dalam pengumuman dibuat Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu turut terpilih ialah Menteri Pelancongan Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz; Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin; Exco Kerajaan Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsudin; Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Anggota Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani; bekas Naib Canselor UiTM Prof Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah; Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohanizam Ibrahim.

Bagaimanapun tiga hari kemudian Kazim mengumumkan menolak pelantikan berkenaan kerana mahu menjadi pendakwah yang boleh bergerak bebas dalam usahanya memartabatkan perpaduan umat Islam negara ini.

Bercakap di Taman Ria di Sungai Petani Kedah Kazim berkata beliau juga mahu menumpukan perhatiannya pada Pusat Pendidikan Al-Barakah yang terletak Jalan Maxwell, Ipoh.

"Saya tidak mahu dilabel orang ramai mendapat bantuan Umno dengan menerima jawatan MT," katanya.

Dakwaan berlaku serangan seks luar tabii itu menjadi viral di media sosial selepas beberapa ibu bapa mengaku anak mereka menjadi mangsa serangan seksual oleh pelajar lain.

The Star Online melaporkan Kazim memberitahu pihak sekolah sudah menjalankan siastaan berhubung dakwaan itu sebelum ia tersebar.

"Siasatan kami mendapati tiada insiden liwat atau cabul berlaku seperti didakwa," katanya.

Beliau juga berharap orang ramai tidak membuat kesimpulan berdasarkan maklumat tersebar di media sosial, sebaliknya membiarkan polis melakukan siasatan.

Kazim juga memberitahu akan berbincang dengan peguam untuk menentukan langkah selanjutnya yang perlu diambil.

Lihat Komen
ADS