Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Video Namewee, polis akan siasat beberapa lagi
Diterbitkan:  Aug 26, 2016 6:31 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Polis akan merekodkan keterangan dari beberapa pihak lagi bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung klip video penyanyi rap kontroversi, Namewee yang didakwa menghina Islam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata setakat ini pihaknya merekod keterangan lebih 10 orang termasuk anggota jawatankuasa masjid, badan bukan kerajaan yang membuat laporan polis serta mereka yang terlibat dalam klip video yang dirakam di sebuah masjid di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

"Semalam polis membuat permohonan menyambung reman ke atas Namewee selepas tamat tempoh reman empat hari, bagi melengkap kertas siasatan kes itu tetapi atas faktor kesihatannya, mahkamah menolak permohonan polis.

"Jadi semalam kami telah bebaskan dia dengan jaminan polis dan siasatan lanjut kes itu masih dijalankan.

"Sebelum ini, kita juga telah serahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya tetapi pihak berkenaan minta polis teruskan siasatan dengan merekodkan keterangan beberapa pihak lagi untuk melengkapkannya," katanya kepada pemberita di Bukit Mertajam hari ini.

Katanya sebaik lengkap kertas siasatan itu, ia akan diserahkan kepada pihak pendakwaan sebelum dirujuk kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Abdul Ghafar berkata sebanyak enam laporan polis diterima daripada pelbagai pihak berhubung kes Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee.

Isnin lepas penyanyi itu ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes klip video berkenaan dan disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau
kedua-duanya.

Penyanyi itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari luar negara pada pukul 3.30 petang, Ahad lepas.

Klip video memaparkan rakaman empat lelaki yang menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin berdurasi 4.05 minit itu menjadi viral dan menimbulkan kemarahan orang ramai kerana ia dipercayai menghina Islam.

Dalam perkembangan lain, Abdul Ghafar berkata Polis Pulau Pinang menahan 55 individu sejak Januari hingga semalam atas pelbagai kesalahan jenayah mengikut Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 (POCA), yang membolehkan seseorang yang ditangkap, ditahan tanpa bicara bagi tempoh tidak melebihi dua tahun.

Katanya kesemua mereka yang ditahan itu adalah atas pelbagai kesalahan antaranya membabitkan penganjur judi, kumpulan gangster dan kongsi gelap.

Beliau berkata selain itu, pihaknya telah mengenal pasti enam kumpulan kongsi gelap yang aktif di negeri berkenaan dan polis juga sedang memantau pergerakan mereka.

"Kami turut melancarkan Op Waran bagi mengesan mereka yang mempunyai waran tangkap untuk didakwa di mahkamah dalam usaha membendung kegiatan jenayah di negeri itu," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS