Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hisham selar penderhaka selepas 'tidur dan gemuk' dalam Umno
Diterbitkan:  Aug 27, 2016 6:06 AM
Dikemaskini: 10:24 PM

Naib Presiden Umno,Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyelar segelintir pengkhianat Umno yang derhaka kepada parti selepas "tidur dan gemuk" dalam Umno.

Justeru, beliau mengingatkan anggota Umno supaya tidak terpengaruh dengan sikap golongan "musang berbulu ayam" berkenaan yang mengambil kesempatan demikepentingan diri.

"Setelah 'tidur dan gemuk' di dalam Umno, mereka kemudiannya keluar parti dan derhaka terhadap perjuangan Umno.

"Siapa tak marah apabila mereka ini ambil kesempatan... musang-musang berbulu ayam yang selama ini tidur dan gemuk dalam rumah Umno," katanya ketika berucap di persidangan perwakilan Umno bahagian Padang Serai di Kulim semalam.

Beliau turut menasihatkan anggota Umno untuk sentiasa merapatkan saf dan barisan bagi memastikan Barisan Nasional (BN) mampu memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Memberikan contoh negeri Kedah, katanya negeri jelapang padi itu kini diterajui pemimpin yang cukup baik serta diterima rakyat dan sehubungan itu tidak mustahil sekiranya kawasan Dewan Undangan Negeri Lunas, Merbau Pulas dan Parlimen Padang Serai yang kini dipegang pembangkang mampu ditawan kembali oleh BN pada PRU14.

Katanya itu boleh direalisasikan menerusi kesepakatan, komitmen dan kefahaman yang cukup mendalam.

"Mereka yang bersifat rakus, ego serta tidak ikhlas tidak akan mampu memperjuangkan agenda parti," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga menteri pertahanan mempersoalkan tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta maaf kepada Yang di-Pertuan Agong kerana meminda perlembagaan persekutuan.

"Masa (Tun M) berdepan Raja-Raja Melayu, kita pertahankan dia bagai nak rak, tapi sekarang dia cakap tak serupa bikin...," katanya.

Baru-baru ini Dr Mahathir dikatakan memohon maaf kerana meminda Perlembagaan Persekutuan dengan mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS